Ismanira Abdul Manaf keluar dari Kompleks Mahkamah Petaling Jaya selepas selesai urusan pembayaran ikat jamin pada 13 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Siasatan 192 hari bawa kepada pendakwaan ibu bapa Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Selepas 192 hari, siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia telah membawa kepada pendakwaan kedua ibu bapa kanak-kanak malang itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kedua-duanya berumur 29 tahun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada Disember lepas.

Mahkamah membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan kes.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu adalah antara pertuduhan pilihan yang dikemukakan oleh Bahagian D5 (Pendakwaan dan Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kepada pihak pendakwa raya selain Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata polis telah menggunakan segala peruntukan di bawah bidang kuasa yang ada untuk menyiasat kes itu termasuk menyekat komunikasi antara kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut dengan peguam ketika mereka ditahan reman sejak 1 Jun lepas.

Beliau juga berkata pasukan khas yang ditubuh telah bertungkus lumus menyiasat dan memeriksa semua keterangan, rakaman kamera litar tertutup, laporan patologi serta bedah siasat yang diperoleh dalam menyelesaikan kes itu.

Bahkan ibu mangsa turut dibawa semula ke lokasi mayat kanak-kanak itu ditemukan dan kediaman mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai pada Isnin lepas bagi melakonkan semula situasi kejadian semasa kehilangan Zayn Rayyan sehingga penemuan mayatnya.

“Segala butiran dan keterangan dalam kes ini adalah penting dan pegawai penyiasat saya telah melakukan yang sehabis baik dalam menjalankan amanah diberikan kepada mereka,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Selain itu, datuk dan nenek kanak-kanak tersebut iaitu Zahari Mohd Reba dan Hasni Zakaria turut ditahan semalam bagi membantu siasatan kes namun dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Peguam Fahmi Abd Moin, yang mewakili pasangan itu, berkata mereka diarah melapor diri sebulan sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Fahmi, yang turut mewakili bapa kanak-kanak itu, berkata pada awalnya Zaim Ikhwan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun didakwa atas pertuduhan pengabaian.

Sementara itu, peguam Mahmud Jumaat yang mewakili ibu kanak-kanak itu pula berkata pasangan suami isteri berkenaan kini menjalani rawatan psikologi akibat kemurungan teruk susulan kematian anak mereka.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan pada 6 Dis lepas dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.

Hasil laporan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh berdasarkan penemuan kesan kecederaan pada leher dan badannya akibat mempertahankan diri.

Pihak polis menahan ibu bapa kanak-kanak malang itu pada 31 Mei lepas di sekitar Puncak Alam, Selangor untuk membantu siasatan.

-BERNAMA


Pengarang :