AGENDAJENAYAH

Sindiket edar dadah guna but kereta diubah suai tumpas

SERDANG, 19 JUN: Polis merampas dadah bernilai RM13.5 juta selepas menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Puchong, Selangor pada 12.50 tengah hari, Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata susulan serbuan kerjasama di antara pasukan khas JSJN Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Kelantan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun turut ditahan dipercayai terlibat aktiviti menyimpan dan membungkus dadah di rumah berkenaan sejak awal tahun ini.

Beliau berkata jumlah dadah dirampas di rumah yang disewa itu adalah sebanyak 71 bungkusan plastik bertulisan ‘TIE GUAN YIN’ mengandungi 73.50 kilogram (kg) ketamin dan 300 bungkusan plastik bertulisan ‘GUANYINWANG’ mengandungi 308.691 kg syabu.

“Hasil siasatan polis juga mendapati suspek menggunakan kereta yang telah diubah suai but dengan anggaran kapasiti sehingga 80kg dapat dimuatkan bagi menyembunyikan dadah agar tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

“Ruang tersebut berada di belakang tempat duduk belakang kereta tersebut dan hanya boleh dibuka menggunakan kad akses bagi membuka bahagian yang diubah suai itu setelah enjin dihidupkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini hari ini.

Khaw berkata suspek akan menggunakan kereta yang diubah suai itu untuk membuat penghantaran dadah di pasaran sekitar Lembah Klang dengan upah RM6,000 bagi setiap penghantaran.

“Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencingnya juga negatif.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata turut disita harta benda yang dianggarkan bernilai RM37,500 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 iaitu sebuah kereta jenis Hyundai Sonata dan wang tunai RM500, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan RM13,573,112.

Pihak JSJN percaya bahawa banyak rangkaian sindiket ini yang masih bebas terutama daripada kalangan pembekal, tambah beliau.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket ini diminta menyalurkannya kepada polis dengan menelefon JSJN di talian 012-2087222 bagi membantu siasatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :