Skuad hoki negara mengatasi Kanada 4-2 dalam Kejohanan Piala Negara-Negara di Stadium Nasional Gniezno, Poland pada 5 Jun 2024. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
AGENDASUKANKINI

Skuad hoki negara atasi Kanada 4-2 kejohanan Piala Negara-Negara

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Skuad Speedy Tigers melengkapkan perlawanan kumpulan Kejohanan Piala Negara-Negara dengan mengatasi Kanada 4-2 di Stadium Nasional Gniezno, Poland semalam.

Ia kemenangan sulung skuad bimbingan Sarjit Singh dalam saingan itu selepas seri 4-4 dalam perlawanan pembukaan menentang Pakistan dan tewas 1-3 kepada Perancis pada perlawanan kedua sebelum ini.

Keputusan dilakar itu menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan ketiga berkongsi empat mata dengan Pakistan di kedudukan kedua hanya dipisahkan dengan perbezaan gol yang besar.

Bagaimanapun Perancis, selaku pendahulu Kumpulan B dengan enam mata akan menentang Pakistan (empat mata) dalam aksi pelengkap kumpulan hari ini.

Mengikut format, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan mara ke separuh akhir.

Skuad hoki lelaki negara kini perlu mengharapkan tuah supaya Perancis membelasah Pakistan dengan jumlah jaringan besar untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

Pada perlawanan pelengkap kumpulan hari ini, Malaysia tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol masing-masing menerusi jaringan padang Fitri Saari pada minit kedua dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal selang empat minit kemudian.

Malaysia menambah derita Kanada apabila terus merobek gawang lawan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-22 oleh Syed Syafiq Mohd Cholan.

Kanada bangkit memecah kebuntuan gol mereka pada minit ke-41 hasil jaringan Dhillon Rhopkanwar namun Muhajir Abdul Rauf menggandakan jaringan buat negara selang seminit kemudian.

Kanada berhasil menambah jaringan pada minit ke-51 menerusi Mansarovar Sidhu sekali gus terpaksa akur mengakhiri saingan kumpulan di tangga tercorot tanpa memungut sebarang mata.

Kejohanan itu menampilkan dua kumpulan iaitu lima dalam Kumpulan A (New Zealand, Poland, Austria, Afrika Selatan dan Korea Selatan) dan empat dalam Kumpulan B.

Pasukan tempat ketiga dan keempat daripada setiap kumpulan akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi untuk menentukan kedudukan lima hingga kelapan manakala perlawanan separuh akhir akan berlangsung Sabtu ini dan final hari hari berikutnya.

Juara kejohanan ini berpeluang beraksi pada Liga Profesional Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

– BERNAMA


Pengarang :