Mufti Aceh, Tengku Faisal Ali menyampaikan syarahan umum ‘Pedoman menjadi orang soleh’ ketika Festival Turath Islami Selangor di Dewan Solat Utama, Masjid Negeri, Shah Alam pada 31 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Syukur dapat sertai festival turath, peserta anggap rezeki bertemu ulama terkemuka

SHAH ALAM, 1 JUN: Peserta Festival Turath Islami Selangor meluahkan rasa syukur kerana berpeluang mengikuti perkongsian ilmu yang disampai barisan agamawan terkemuka pada program berkenaan.

Penuntut Madrasatulquran Darussalamah, Setia Alam, Syed Mohd Zein Wan Yusof, 21, menganggap kesempatannya menuntut ilmu di festival turath adalah rezeki yang tidak ternilai.

Syed Mohd Zein Wan Yusof, 21

“Peluang untuk bertemu ulama ini susah dan hari ini ditakdirkan Allah SWT saya dapat hadir ke festival ini.

“Saya hadir ke festival ini juga untuk mengambil keberkatan kerana malaikat sentiasa mendoakan kita Ketika berada di majlis ilmu,” katanya kepada Selangorkini.

Syed Mohd Zein merupakan antara ratusan peserta yang hadir syarahan umum sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini petang tadi.

Sementara itu, Syukri Mohd Adam, 70, dari Aceh berkongsi kehadirannya ke syarahan itu untuk meraikan majlis ilmu bersama rakyat Selangor sebagai satu keluarga.

Syukri Mohd Adam, 70

“Kalau di Aceh sudah menjadi kebiasaan majlis ilmu seperti ini kerana ada banyak masjid dan pondok anjur festival sebegini.

“Jadi kehadiran saya juga menyokong inisiatif baik Kerajaan Selangor yang mendidik generasi muda mencintai ilmu,” katanya.

Bagi Muhamad Haritsh Hanan, 21, beliau kagum dengan syarahan yang disampaikan Mufti Aceh Tengku Faisal Ali yang jelas dan mudah difahami.

Penuntut Kolej Inovatif, Cyberjaya, Muhamad Haritsh Hanan, 21

“Saya hadir untuk lihat kupasan idola yang sangat disanjungi bekas Mufti Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah dan Tengku Faisal.

“Tertarik dengan gaya penyampaian kedua-dua tokoh ini kerana saya juga bercita-cita untuk menuntut di negara Timur Tengah,” kongsinya.

Festival kali kedua ini berlangsung sejak Ahad hingga 2 Jun dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Kira-kira 2,000 jemaah memenuhi ruang solat utama Masjid Negeri di Shah Alam bagi menyertai Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor pada 31 Mei 2024. FOTO HAFIZ OTHMAN.

Dimulakan dengan kupasan Kitab Hadis 40 oleh bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah dan Pameran Al-Wahyu yang membawa manuskrip tulisan tangan berusia ratusan tahun.

Turut berlangsung forum bertajuk Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu yang menampilkan ahli panel Ustaz Muhamad Abdullah, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria dan Ustaz Mohamad Aizuddin Abdul Aziz.

Bertema Mendalami Khazanah Kitab Islam, maklumat program, lokasi serta pendaftaran boleh dibuat menerusi http://www.turathislamselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.


Pengarang :