Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-12 di Dewan Perbandaran, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 6 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Tekad selesai aduan penduduk, semarak aktiviti seni di Shah Alam

SHAH ALAM, 6 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk memberi maklum balas segera aduan penduduk sama ada isu kecil atau besar.

Datuk bandarnya berkata selain meningkatkan kualiti penyampaian, pihaknya bercadang menceriakan bandar raya antaranya dengan acara kesenian terutama ketika pada waktu malam hujung minggu.

“Kakitangan MBSA perlu menanamkan sikap untuk bertindak segera dalam memastikan perkhidmatan kepada masyarakat dapat selesai dengan efektif.

“Seiring dengan usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan, kita  juga mahu memeriahkan lagi bandar raya ini dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti program berbentuk kesenian terutama ketika pada waktu malam hujung minggu,” kata Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim

Bercakap ketika sidang media majlis angkat sumpah jawatan baharunya, Mohd Fauzi berkata beliau juga akan berusaha dan berbincang dengan pihak berkaitan untuk memastikan Shah Alam bebas banjir.

Jelasnya, beliau juga akan memastikan kebimbangan penduduk dapat dikurangkan terutama ketika hujan lebat dan ribut petir termasuk melakukan pemantauan terhadap pokok yang berisiko tumbang.

“Saya percaya dengan kepakaran, sikap profesional dan kerjasama daripada semua pihak kita dapat melahirkan Shah Alam sebagai bandar raya berdaya huni, terunggul dan menyemarakkan ekonomi,” ujarnya.


Pengarang :