SHAH ALAM, 2 JUN: Jarang membuat rujukan kitab agama dan tiada guru pembimbing antara faktor anak muda kerap mengadu alami tekanan dan serangan panik.
Presiden Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) Muhammad Tarmizi Abdul Wahid berkata disebabkan itu belia memerlukan pembersihan hati dan jiwa dengan lebih kerap.
“Hari ini ramai masyarakat lebih-lebih lagi anak muda inginkan kebahagiaan dan mereka selalu mengadu di media sosial, muram, sedih, ‘stress’ dan ada ‘anxiety’. Puncanya kurang rujuk kitab.
“Cuba baca kitab seperti Riyadhu as-Salihin dan duduk dengan guru untuk didik kerohanian. Pasti ada kelainan. Kitab ini bukan sahaja mengajar amalan rohani, tapi juga erti keikhlasan,” katanya ketika Seminar Penghayatan Riyadhu as-salihin (Sesi 2): Pembentukan nilai masyarakat Muslim dalam sejarah.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/P_SeminarTurathIslamiRiyadhuASSalihin2-11-500x333.jpg.webp)
Bercakap di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Muhammad Tarmizi mengulas kitab Riyadhu as-Salihin menjadi rujukan utama di Singapura melebihi satu abad.
“Ia sumber penting bahan pendidikan, kurikulum sekolah dan madrasah di Singapura. Kita ada 71 masjid dan enam madrasah sepenuh masa di sana. Walaupun negara kecil, dan masyarakat Islamnya juga minoriti dan sangat kecil tapi kami aktif dengan program agama.
“Setiap minggu ada ceramah agama. Apa yang penting dan sentiasa diingatkan adalah jaga hubungan baik dengan masyarakat kerana di Singapura ada 10 agama yang diterima secara rasmi,” katanya lagi.
Kitab Riyadhu as-Salihin menghimpunkan 1,896 hadis Rasulullah SAW mencakupi aspek kehidupan Muslim antaranya kepercayaan, perilaku, adab dan tatacara ibadat.
Pemilihan karya Imam an-Nawawi sebagai tema Festival Turath Islami Selangor kali ini dibuat hasil cetusan fikiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Selain sesi pengajian, peserta berpeluang melihat manuskrip al-Quran dan kitab warisan Islam Alam Melayu. Persembahan artis antarabangsa Abu Sha’ar Bro dari Syria antara tarikan baharu festival berkenaan.