Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) menyaksikan penyerahan cek cura Insentif Haji Muassasah Daerah Hulu Selangor oleh Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Selangor Ahmad Azri Zainal Nor kepada penerima ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Komuniti Pendidik dan Jemaah Haji Muassasah peringkat Hulu Selangor pada 5 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tidak duga jadi tetamu Allah, insentif haji ringan beban jemaah

Usianya sudah 68 tahun tetapi peluang naik haji dijadual pada 2070. Walau sudah cukup simpanan dengan Lembaga Tabung Haji (TH), Yacob Ahmad terpaksa menunggu 46 tahun lagi untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Semuanya ini gara-gara silap faham beliau ketika awal-awal membuka akaun simpanan dengan TH. Pesara kerajaan ini mendaftar haji hanya pada 2021 walau akaunnya dibuka lebih 20 tahun lalu.

“Sepatutnya (saya) pergi 2070. Saya fikir tidak mengapa kalau tidak dapat pergi. Tetapi saya dapat (pergi) tahun ini kerana isteri saya. Dia dapat tawaran.

“Tabung Haji tanya (dia) calon mahram? Isteri saya cakap suami saya tidak dapat (tawaran). Saya jadi mahram (selepas permohonan rayuan),” kata-
nya kepada Selangorkini sehari sebelum bertolak ke tanah suci pada 8 Jun.

“Tiba-tiba dapat jadi pergi, seronoknya. Rezeki. Hajat saya termakbul. Rezeki dapat pergi,” tambahnya, dengan menjelaskan beliau sebelum ini menyangka diberikan giliran secara automatik ketika mula menabung.

Beliau antara 222 penerima bantuan RM1,000 seorang dalam program Insentif Haji Muassasah yang diserahkan di Batang Kali, Hulu Selangor pada 5 Mei. Peruntukan RM6 juta disediakan untuk 6,000 jemaah haji tahun ini.

Bermula beberapa tahun lepas, insentif RM500 seorang digandakan kepada RM1,000 tahun ini. Jumlah penerima juga ditingkatkan semula kepada enam ribu orang.

Selangor juga menanggung kos perjalanan 36 jemaah daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mengerjakan ibadah itu secara percuma tahun ini.

Ia susulan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 28 April. Justeru RM1.2 juta akan dibelanjakan untuk tujuan itu.

Bilangan jemaah haji Selangor yang mengerjakan ibadah kelima dalam rukun Islam di Makkah pada tahun ini seramai 8,061 orang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan Insentif Haji Muassasah kepada bakal jemaah di Masjid At-Tuqo, Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Ringankan kos

 

Sementara tiga lagi jemaah haji dari Selangor yang diwawancara melahirkan rasa syukur setelah merancang ke Makkah kira-kira 15 tahun lalu. Mereka mendaftar pada 2008 dan 2009.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur dijemput oleh Allah pada usia 51 tahun dan suami pula 60 tahun. Inilah hadiah daripada Allah untuk kami berdua,” kata Shuhaida Ali Miras @ Abd Shukor dari tanah haram pada 10 Jun.

Menyimpan wang melalui pemotongan gaji setiap bulan dan pergi bersama suami Azhar Md Yusof, kakitangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu mendaftar pada 2009.

Seorang buruh Amaluddin Ismail, 55, dan pesara guru Azlina Supari, 56, juga membuat potongan pendapatan setiap bulan untuk menyahut lambaian Kaabah.

Dihubungi Selangorkini melalui mesej WhatsApp dari Makkah, mereka menunaikan ibadat fardu ini dengan ditemani oleh pasangan masing-masing.

“Setelah sekian lama menunggu, akhirnya saya dijemput menjadi duyuf ar-Rahman (tetamu Allah),” kata Amaluddin yang mendaftar pada 2008.

Azlina menabung sejak mula bekerja pada usia 25 tahun pada 1993. “Saya sangat berterima kasih kepada suami yang mendaftarkan nama saya di TH pada 2009,” katanya.

Seperti Yacob, ketiga-tiga jemaah ini menerima insentif RM1,000 daripada Kerajaan Negeri pada majlis sama. Jumlah ini digunakan untuk perbelanjaan di tanah suci.

“Syukur dengan insentif kerajaan, kami dapat meringankan kos perbelanjaan di sini. Terima kasih Kerajaan Selangor. Saya dan suami memang anak jati Selangor,” jelas Shuhaida.

Yacob pula merancang menghulur sedekah sebagai amal jariahnya. “Bagus (insentif ini). Saya dapat buat perbelanjaan (persiapan). Duit itu juga saya boleh bersedekah, memanjangkan pahala.”

Mengenai persiapan, beliau sudah menghadiri kursus haji sebelum mendapat tawaran. “Apabila dapat jawapan (boleh pergi), lagi bersemangat,” katanya.

Selain berpandukan bahan kursus dan pengalaman rakan-rakannya, Azlina menambah lagi pengetahuan dengan menonton dari YouTube.

“(Saya) membaca buku-buku rujukan yang dibekalkan oleh TH, selain mengikuti pembelajaran di YouTube. Untuk kelengkapan, (saya) ikut saranan TH dan pengalaman rakan-rakan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan insentif Haji Muassasah kepada bakal jemaah di Masjid At-Tuqo, Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :