Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Tidak terima bayaran hasil jual dua lot tanah, warga emas rugi RM3.5 juta

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Seorang lelaki warga emas mendakwa kerugian RM3.5 juta selepas, tidak menerima wang bayaran hasil penjualan dua lot tanah miliknya kepada sebuah syarikat di Ampang, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki berusia 63 tahun itu, membuat laporan semalam berhubung perjanjian jual beli yang ditandatanganinya pada 25 Okt 2022.

Beliau berkata perjanjian tersebut disaksikan seorang peguam dari firma guaman, yang dilantik untuk mewakilinya dan pada 15 Mac tahun lalu, beliau telah membuat pengesahan cap jari di Pejabat Tanah Petaling bersama peguam dilantik dan urusan penjualan tanah tersebut selesai pada hari yang sama.

“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang wang hasil dari penjualan tanah tersebut dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Pasukan Petugas bagi Jemaah Haji Terkandas yang diaktifkan di One Stop Center, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejak 10 Jun, Ramli berkata enam laporan polis diterima dari dua pengadu berbeza, melibatkan nilai kerugian RM21,100.

Beliau berkata bagi laporan polis yang melibatkan isu penipuan, siasatan sedang dijalankan PDRM di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala bagi laporan melibatkan kesalahan di bawah bidang kuasa pihak Tabung Haji, kes dirujuk kepada agensi tersebut untuk tindakan selanjutnya.

“Secara keseluruhan, 71 pegawai iaitu 50 pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia dan 21 pegawai dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), telah ditugaskan dan pihaknya akan menamatkan tugas pada 11.59 malam ini selepas 12 hari penugasan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :