EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berucap ketika majlis pelancaran Ikon Alam Sekitar Selangor 2024 di Pusat Konservasi Hidupan Liar, Hulu Selangor pada 8 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Tubuh pusat adaptasi perubahan iklim antara inisiatif negeri pelihara alam

HULU SELANGOR, 8 JUN: Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memastikan khazanah dan sumber alam di Selangor dipelihara secara mampan.

EXCO alam sekitar berkata pelbagai inisiatif dilaksana bagi menangani perubahan iklim seperti penguatkuasaan undang-undang, program pemantauan, program pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

Menurut Jamaliah Jamaluddin, antara inisiatif yang sedang dijalankan ialah penubuhan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Negeri Selangor, pengekalan kawasan liputan hijau tidak kurang 30 peratus dan projek penanaman 11 juta pokok.

“Usaha lain adalah pembangunan Dasar Perubahan Iklim Selangor, projek pemasangan panel solar di bangunan Kerajaan Negeri dan program Geran Kecil Alam Sekitar.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukam penglibatan aktif jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), korporat dan individu dalam program berteraskan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Ikon Alam Sekitar Negeri yang dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Pusat Konservasi Tapir Sungai Dusun, di sini hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan memberi tapir makan ketika majlis pelancaran Ikon Alam Sekitar Selangor 2024 di Pusat Konservasi Hidupan Liar, Hulu Selangor pada 8 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jamaliah memaklumkan Kerajaan Negeri turut menumpu pembangunan Pusat Konservasi Tapir Sungai Dusun sebagai pusat ekopelancongan baharu di negeri.

Katanya, pembangunan di bawah Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam Selangor 2035 dan Rancangan Tempatan Majlis Daerah Hulu Selangor 2035 bertujuan memacu industri pelancongan di kedua-dua daerah itu.

“Manakala, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menjalankan tanggungjawab korporat sosial (CSR) menaik taraf fasiliti dan kemudahan di pusat ini.

“Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut menjalankan CSR memberi sumbangan makanan kepada kehidupan liar kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor secara berkala,” katanya.

 


Pengarang :