Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tengah) merasmikan Karnival Usahawan MBPJ di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 12 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Tujuh garis panduan baharu bantu usahawan kembangkan perniagaan

PETALING JAYA, 12 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan garis panduan aktiviti perniagaan yang baharu untuk membantu pengusaha mengembangkan perniagaan.

Datuk bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata tujuh garis panduan terbahagi kepada tiga kategori yang dilancar hari ini untuk memastikan pengusaha mikro dan makro menjalankan perniagaan dengan lebih yakin, membuka peluang perkerjaan dan mengembangkan ekonomi masyarakat.

Mohamad Zahri menjelaskan kategori pertama terdiri daripada lima garis panduan iaitu aktiviti go kart, simulasi golf, pet hotel, pet grooming dan pajak gadai pandu lalu.

“Untuk kategori kedua meliputi dua garis panduan melibatkan aktiviti pemutihan di Kampung Cempaka dan Old Town manakala kategori ketiga perniagaan di hadapan rumah kawasan Taman Medan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tengah) menyampaikan lesen perniagaan kepada peniaga pada Karnival Usahawan MBPJ di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 12 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Di bawah garis panduan ini, sebagai contoh, di Kampung Cempaka terdapat 40 premis bertapak hingga 20 tahun namun tidak berlesen. Mereka akan diberi lesen perniagaan hingga 5 tahun bagi memastikan tahap keselamatan premis dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan garis panduan tersebut di Dewan Banquet MBPJ.

Beliau menambah garis panduan itu dilaksanakan selaras dengan bidang khas Thematic Economically Vibrant City (EVC) di bawah Pelan Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya tahan (PJSSR) 2030.

“Ia juga untuk merangsang ekonomi Selangor di bawah Teras 1 (Pengukuhan Ekonomi) serta menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tengah) bergambar pada Karnival Usahawan MBPJ di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 12 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :