Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Veteran tentera disaran daftar JHEV ATM, elak tercicir bantuan

SANDAKAN, 16 JUN: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disaran agar mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM serta persatuan-persatuan di lokalti masing-masing dan mengemas kini maklumat semasa melalui sistem VIBES 2.0.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata ini bagi memastikan skim yang disediakan JHEV ATM termasuk bantuan sara hidup, persekolahan, kemasukan ke institusi pengajian tinggi, peralatan pesakit dan bencana alam dapat disalurkan secara efektif serta teratur kepada veteran berkelayakan.

“Kerajaan komited meningkatkan peruntukan JHEV ATM daripada RM118 juta kepada RM244 juta pada tahun 2024, peningkatan yang begitu ketara ini mampu memberi manfaat lebih luas kepada Veteran ATM.

“Pada tahun ini juga, kerajaan meningkatkan peruntukan bayaran sara hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 juta dan setakat 31 Mei 2024, seramai 29,247 veteran menerima faedah ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata inisiatif Peduli Veteran MADANI (PVM) akan menjadi platform Kementerian Pertahanan untuk menyalurkan sumbangan kebajikan dan insentif keusahawanan kepada veteran ATM yang memerlukan sebagai galakan bagi memperkasakan sosioekonomi.

Adly berkata inisiatif PVM berfungsi sebagai medan interaksi dua hala antara Kementerian Pertahanan dan Veteran ATM membabitkan lima perkara utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan serta pemerkasaan ekonomi veteran.

“PVM akan dipertingkat menerusi kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi berkaitan menerusi lawatan kebajikan agar tiada veteran ATM yang terpinggir daripada menerima insentif disediakan,” katanya.

Beliau turut menyantuni sembilan veteran ATM termasuk balu serta waris melalui Program PVM bersama JHEV ATM di sekitar Sandakan sekali gus menyampaikan bakul makanan dan keperluan peralatan kesihatan.

Adly juga meluangkan masa bertemu lima usahawan veteran ATM dan menyampaikan insentif bantuan PVM kepada dua pengusaha perniagaan makanan serta gelanggang silat.

— BERNAMA


Pengarang :