AGENDAJENAYAH

Warga emas rugi lebih RM2.2 juta ditipu sindiket pelaburan saham

JOHOR BAHRU, 17 JUN: Warga emas mengalami kerugian lebih RM2.2 juta selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan membabitkan pelaburan saham.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata lelaki berusia 75 tahun itu membuat laporan polis, semalam selepas percaya dirinya ditipu suspek dan mengalami kerugian RM2,276,000.

“Menurut mangsa yang juga akauntan pada 19 Disember 2023, ketika berada di rumah, mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang mengiklankan berkaitan pelaburan dalam pembelian saham.

“Mesej itu memberi penerangan berkenaan cara melabur dan menjanjikan keuntungan lumayan, mudah dan dalam masa singkat.

“Tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa mengikut arahan suspek dengan memuat turun aplikasi yang diarahkan serta mendaftar akaun di aplikasi itu bagi memantau pelaburannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, mangsa kemudian memulakan pelaburan pada Mei dan Jun lalu dengan memasukkan wang ke beberapa akaun bank atas arahan suspek sehingga berjumlah RM2,276,000.

Katanya, mangsa melihat status pelaburannya di aplikasi yang diberikan dan mendapati ia mencatatkan keuntungan berjumlah RM12.9 juta.

“Teruja dengan keuntungan yang dipaparkan, mangsa memutuskan mengeluarkan wang keuntungan yang diperolehi.

“Bagaimanapun, suspek mengarahkan mangsa membayar komisen RM1.6 juta dan mangsa tidak membuat bayaran berkenaan kerana mengesyaki ditipu,” katanya.

Menurut Kumar, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Pengarang :