Kaunter bayaran zakat di Ibu Pejabat Lembaga Zakat Selangor, Seksyen 14, Shah Alam. Foto Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Zakat Selangor: RM33.2 juta derma pendidikan diagih sepanjang 2023

SHAH ALAM, 10 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan biasiswa pendidikan sejumlah RM33.2 juta sepanjang 2023.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM14.15 juta diagihkan kepada 3,182 pelajar institusi pengajian tinggi dalam negara .

Berdasarkan info grafik LZS,  sebanyak RM5.38 juta pula diagihkan kepada 145 pelajar yang menuntut di Mesir, Jordan dan Maghribi pada tahun sama.

Sebelum ini, Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Jamalullail memberitahu agensi itu mengagihkan RM1.15 bilion bayaran zakat sepanjang 2023 melibatkan lebih 350,000 penerima individu serta organisasi.

Agihan kepada lapan kategori penerima antaranya asnaf, fakir dan miskin meningkat 9.7 peratus berbanding RM1.05 bilion agihan zakat dibuat pada 2022.

Jelasnya agihan terbabit turut memberi manfaat kepada lebih 65,000 keluarga asnaf malah usaha itu membantu lebih 3,600 keluarga keluar daripada belenggu kemisikinan.

Sehubungan itu, LZs menyeru orang ramai melaksanakan zakat bagi membantu pelajar meraih pendidikan yang sempurna dan selesa.

“Mari bersama-sama kami membantu mereka meraih pendidikan yang sempurna dan selesa.

“Laksanakan zakat anda secara online fpx.zakatselangor.com.my,” katanya.


Pengarang :