Aksi pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain Jepun Kodai Naraoka di Terbuka Australia pada 16 Jun 2024. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Zii Jia juara Terbuka Australia, gelaran kedua selepas Terbuka Thailand

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meraih gelaran kedua musim ini selepas merangkul kejuaraan Terbuka Australia 2024 dengan menewaskan wakil Jepun Kodai Naraoka di pentas final hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Quaycentre di Sydney Olumpic Park itu, bekas juara All England itu bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah seteru di ranking keenam dunia sebelum mengatasi cabaran Naraoka menerusi aksi tiga set 21-19,11-21,21-18.

Dalam pertarungan selama 78 minit itu, Zii Jia, selaku pemain nombor lapan dunia, merekodkan kemenangan ketiga ke atas Naraoka dalam enam pertemuan dengan bekas juara Asia itu dan pertemuan terakhir di kejuaraan All England Mac lalu.

Zii Jia sebelum ini pernah tewas kepada Naraoka pada Terbuka Malaysia 2023, Terbuka China 2023 dan Terbuka India 2024.

Ia juga gelaran kedua Zii Jia tahun ini selepas Terbuka Thailand pada Mei lepas.

Selaku juara, Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,500 (RM148,069) manakala Naraoka memperoleh AS$15,960 (RM75,022) selaku naib juara pada kejohanan berstatus Super 500 itu.

Sementara itu, gandingan baharu Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien meraih gelaran sulung negara dalam acara beregu wanita di kejohanan itu tidak kesampaian apabila tewas di tangan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi, 21-17, 7-21, 13-21.

Pei Jing-Chiew Sien begitupun boleh berbangga dengan pencapaian selaku naib juara dengan membawa pulang AS$15,960 (RM75,022) manakala selaku juara, Febriana-Amallia membawa pulang hadiah wang kemenangan AS$33,180 (RM155,966).

— BERNAMA


Pengarang :