Aksi pemain perseorangan negara Lee Zii Jia ketika menentang wakil Taiwan Lee Chia Hao si separuh akhir Terbuka Australia pada 15 Jun 2024. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Zii Jia mara akhir Terbuka Australia, lawan Naraoka dari Jepun esok

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia, terpaksa bermandi peluh sebelum melangkah ke pentas final Terbuka Australia 2024 selepas menumpaskan wakil Taiwan Lee Chia Hao, dalam tempoh 56 minit pada pusingan separuh akhir, hari ini.

Pada aksi berlangsung di Quaycentre di Sydney Olympic Park itu, menyaksikan juara All England 2021 bermula goyah pada set pertama apabila ketinggalan 10-21, namun kembali bangkit pada dua set seterusya dengan kemenangan 21-15 dan 21-10.

Ini merupakan kemenangan ketiga daripada enam pertemuan Zii Jia kepada ranking ke-37 dunia itu, selepas beliau pernah ditumpaskan Chia Hao di Kejohanan Badminton Asia Junior 2016 (Acara Individu), Terbuka Jerman 2023 dan Terbuka Hong Kong 2023.

Beliau seterusnya akan bertemu pilihan kedua kejohanan, Kodai Naraoka dari Jepun dan mengikut pertemuan sebelum ini Zii Jia pernah memenangi dua daripada tiga perlawanan iaitu di All England 2023 dan All England 2024.

Turut mengikuti langkah pemain berusia 26 tahun itu ialah pasangan beregu wanita negara Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien, yang menunjukkan jalan keluar kepada pilihan ketiga kejohanan Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam dari Hong Kong, 21-13, 18-21 dan 21-14.

Pei Jing-Chiew Sien seterusnya akan bertemu pilihan kedua kejohanan Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi dari Indonesia, untuk merebut gelaran Super 500 bagi kategori beregu wanita.

Sementara itu, Pei Jing yang berpasangan dengan Tan Kian Meng dalam acara beregu campuran, tewas kepada pilihan pertama kejohanan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China, 11-21 dan 11-21, manakala beregu lelaki negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal, tewas kepada He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China, 18-21 dan 9-21.

— BERNAMA


Pengarang :