PETALING JAYA, 9 JULAI: Aspek keselamatan menjadi keutamaan sepanjang perlawanan Piala Sultan Selangor (TSSC) di Stadium Merdeka pada 17 Ogos, kata pengerusi dan pengurusnya.
Tan Sri Abd Karim Munisar berkata seramai 2,000 anggota keselamatan termasuk polis Selangor dan Kuala Lumpur ditugaskan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
“Polis Selangor dan Kuala Lumpur akan menambah kekuatan pasukan keselamatan… jangka 2,000 anggota akan bersiap sedia.
“Dalam keadaan sekarang ini isu keselamatan menjadi keutamaan, kita tidak akan kompromi,” katanya ditemui pada siri jelajah promosi dan penyerahan tiket TSSC di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/P_TIKETSultanSelangorCUPMBPJ-10-500x333.jpg.webp)
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kerja naik taraf Stadium Merdeka untuk kejohanan berkenaan akan selesai sepenuhnya penghujung bulan ini.
“Kita memantau kerja-kerja pembaikan stadium dan melihat pada pekembangan terkini semuanya akan selesai hujung Julai ini.
“Buat masa ini, proses-proses mengecat sedang dijalankan dan padang dalam keadaan baik serta dipantau sepenuhnya,” ujarnya.
Kejohanan berprestij melibatkan perlawanan tradisi dengan Singapura kembali diadakan pada 17 Ogos depan selepas tertangguh empat tahun susulan Covid-19.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/PSX_20240103_125834-500x333.jpg.webp)
Dijangka 20,000 penonton memeriahkan perlawanan berkenaan dengan tiket dijual pada harga serendah RM10.
Pilihan Selangor pernah meraih gelaran sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.
Sementara Pilihan Singapura pula pernah bergelar juara tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.