BERITA UTAMAPBTSELANGOR

22,352 bantahan cukai taksiran, MPAJ sedia dengar keluhan penduduk

SHAH ALAM, 16 JULAI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerima 22,352 bantahan kadar cukai taksiran baharu setakat 31 Mei lalu.

Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata sesi pendengaran bantahan yang bermula 1 Julai lalu akan berlangsung hingga hujung bulan ini.

“Setakat 11 hari sesi pendengaran berlangsung, seramai 11,015 orang mengesahkan kehadiran tetapi yang datang hanya 951 orang. Mungkin faktor bekerja salah satu sebab mereka tidak hadir.

Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad

“Rata-rata yang hadir membantah kenaikan (cukai taksiran) disebabkan faktor usia yang sudah tua, tiada pendapatan, rumah yang dikenakan cukai tiada penyewa, hanya bergantung pada pencen dan kos sara hidup tinggi,” katanya kepada Selangorkini.

Tidak menaikkan kadar cukai selama 27 tahun sejak 1997, Dr Ani berkata setakat semalam MPAJ menghantar notis pemakluman bantahan melalui surat, WhatsApp dan emel kepada semua pembantah.

“Bagi saya sesi pendengaran seperti ini bagus diadakan kerana kita boleh mendengar keluhan dan pandangan mereka selain kita juga berpeluang menerangkan sebab kadar cukai itu perlu dinaikkan.

“Setakat ini kita hanya mendengar sebab mereka membantah dan kita tidak menolak luahan atau cadangan mereka. Semua maklumat yang diperoleh ini akan diusul kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Orang ramai menyemak dan membayar cukai serta kompaun di kaunter bergerak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat, Hulu Kelang pada 17 Jun 2023. Foto Majlis Perbandaran Ampang Jaya

Sebanyak lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak membuat semakan kadar cukai taksiran antara kira-kira 20 hingga 40 tahun lalu.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

Menegaskan rumah kos rendah tidak dikenakan kenaikan meski menerima notis itu, beliau berkata semakan tersebut bertujuan mengetahui nilai dan mutu perbandaran sesebuah kawasan.

Katanya, pentadbiran negeri juga akan meneliti pelbagai faktor sebelum memberi kebenaran kepada PBT untuk membuat kenaikan ataupun sebaliknya.


Pengarang :