Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama Pengerusi JPKK sempena majlis penyampaian watikah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisi Selangor Sesi 2024-2025 di Hotel Concorde Shah Alam, pada 15 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

373 individu terima watikah pelantikan ketua kampung sesi 2024-2025

SHAH ALAM, 15 JULAI: Seramai 373 individu menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisi, bagi sesi 2024 – 2025.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata tempoh perkhidmatan mereka yang juga ketua kampung itu berkuat kuasa bermula 1 Julai 2024 hingga 31 Disember 2025.

“Saya berharap agar sebuah pasukan JPKK yang kukuh dapat dibentuk dan benar-benar dapat bekerja demi rakyat di peringkat akar umbi di kampung,” katanya.

Beliau berekata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian watikah pelantikan yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Hotel Concorde, di sini.

Selain itu, Rizam berkata Kerajaan Negeri bersetuju jumlah keanggotaan JPKK dikembangkan untuk mengukuhkan perpaduan di peringkat kepimpinan kampung.

“Melalui Gagasan Rumpun Selangor keanggotaan JPKK dikembangkan kepada pengerusi masjid, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Pertubuhan Peladang Negeri (Peladang) Selangor dan persatuan belia mengikut biro yang bersesuaian.

“Ia dapat memantapkan peranan ketua kampung di dalam menyelaras dan mengkoordinasi program dan aktiviti supaya tiada yang bertindih,” katanya.

Menurut Rizam, Kerajaan Negeri bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menganjurkan sesi “townhall”, kursus dan latihan untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan ketua kampung.

“Antara kursus-kursus yang bakal dianjurkan ialah di dalam bidang pengurusan dan kepimpinan serta kemahiran asas organisasi seperti pengurusan mesyuarat dan penulisan minit mesyuarat.

“Selain itu, ketua kampung akan didedahkan denhan latihan pengurusan etika dan protokol, pembangunan koperasi, asas pengurusan konflik mengikut syariah atau sulh,” jelasnya.


Pengarang :