Ahli Parlimen Sungai Buloh, Dato’ R Ramanan bergambar bersama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang menerima insentif melibatkan peruntukan RM72,350 di Sungai Buloh pada 13 Julai 2024. Foto MEDIA SELANGOR
ADNSELANGOR

73 pelajar cemerlang SPM DUN Kota Damansara terima insentif

SHAH ALAM, 13 JULAI: Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyerahkan insentif kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang memperoleh keputusan cemerlang.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Dato’ R Ramanan berkata, siri pertama penyerahan insentif itu diberikan kepada 73 pelajar di dalam kawasan DUN Kota Damansara.

Beliau berkata penerima hari ini sebahagian daripada 159 pelajar dari kawasan parlimen itu yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam SPM 2023.

“Inisiatif ini adalah kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh dengan YBR melibatkan peruntukan RM72,350 bagi menghargai prestasi cemerlang pelajar lepasan SPM.

“Daripada 73 pelajar, 25 berjaya mendapat 7A yang masing-masing menerima insentif RM400, 25 mendapat 8A (RM450), 19 mendapat 9A (RM500), manakala tiga pelajar mendapat keputusan cemerlang 10A menerima RM600 dan seorang 11A menerima RM700,” katanya ditemui selepas merasmikan majlis penyampaian insentif itu di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata pemberian insentif terbabit bagi memberi motivasi kepada pelajar untuk lebih berjaya pada masa hadapan.

Sementara itu penerima Melur Elvira Mohamad Iskandar, 18, berkata dia bersyukur mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun lalu seterusnya terpilih menerima insentif berkenaan.

Melur Elvira Mohamad Iskandar, 18, penerima insentif untuk pelajar lepasan SPM di Sungai Buloh pada 13 Julai 2024. Foto MEDIA SELANGOR

“Saya bersyukur dengan keputusan diperoleh, ini pencapaian terbaik saya,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10 Kota Damansara itu lagi.

Beliau yang memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM itu akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (um) dalam jurusan sains fizikal.

Ayuni Illya Azmi, 18, yang mendapat 11 A dalam SPM 2023 turut gembira dan bersyukur dengan keputusan serta insentif diberikan.

Ayuni Illya Azmi, 18, penerima insentif untuk pelajar lepasan SPM di Sungai Buloh pada 13 Julai 2024. Foto MEDIA SELANGOR

“Keluarga banyak memberi sokongan kepada saya terutama ibu yang banyak mendoakan. Selain itu cikgu juga banyak membantu,” katanya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke UM dalam jurusan sains hayat.


Pengarang :