EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari, Pengarah Kebajikan Masyarakat Selangor, Azmir Kassim bersama peserta Persidangan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Selangor 2024 di Geno Hotel, Subang Jaya pada 17 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENSISELANGOR

Adik Zayn Rayyan masih dalam jagaan JKM hingga diputuskan mahkamah

SUBANG JAYA, 17 JULAI: Adik kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dibunuh tahun lalu kini masih berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Pengarah JKM Selangor Azmir Kassim berkata kanak-kanak berusia lima tahun itu kini ditempatkan di rumah perlindungan sehingga satu tempoh ditetapkan mahkamah.

“Buat masa ini, kita masih lagi melihat beberapa ‘option’ (pilihan) siapa yang layak dan sesuai untuk menjaganya. Ia juga bergantung kepada keadaan kes itu nanti…sebab ia masih belum berjalan.

“Kita akan lihat dalam pelbagai aspek tetapi tidak putuskan lagi sehingga ke tarikh mahkamah, baru akan putuskan mana yang terbaik,” katanya di sini hari ini.

Pengarah Kebajikan Masyarakat Selangor, Azmir Kassim berucap pada majlis penutup Persidangan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Selangor 2024 di Geno Hotel, Subang Jaya pada 17 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Ditemui pada majlis penutup persidangan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK), Azmir memaklumkan pihaknya membenarkan ibu bapanya melawat kanak-kanak terbabit.

“Kita ada akses untuk benarkan ibu bapa melawat tetapi bersyarat,” ujarnya.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Pangsapuri Idaman Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Pada 13 Mei lalu, ibu bapa kanak-kanak malang itu ditahan di Puncak Alam, Selangor dan direman 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 13 Jun, ibu bapanya didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.


Pengarang :