Pemain bola sepak negara bawah 19 tahun (B-19) meraikan kemenangan selepas membenam Brunei 11-0 pada aksi Kumpulan C Kejuaraan ASEAN B-19 di Surabaya, Indonesia pada 19 Julai 2024. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

ASEAN B-19: Malaysia benam Brunei 11-0, berdepan Singapura Isnin depan

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Skuad bola sepak negara bawah 19 tahun (B-19) memulakan kempen mempertahankan Kejuaraan ASEAN B-19 2024 dengan penuh bergaya apabila membelasah Brunei 11-0 dalam aksi Kumpulan C di Surabaya, Indonesia hari ini.

Pada aksi di Stadium Gelora 10 November itu, anak buah Juan Torres Garrido, selaku juara edisi 2018 dan 2022, hanya memerlukan dua minit untuk membolosi gawang Brunei menerusi jaringan G. Pavitran.

Pesta gol Malaysia pada separuh masa pertama diteruskan lagi menerusi jaringan Abid Safaraz Rozaidi (14’, 16’), Danish Hakimi Sahaludin (25’), Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon (42’) sebelum Pavitran sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-43 untuk selesa dengan keputusan 6-0.

Memasuki separuh masa kedua, Brunei kendalian Aminuddin terus dirudum malang apabila pengadil perlawanan dari Filipina, Clifford Daypuyat menghadiahkan sepakan penalti kepada Malaysia yang disempurnakan oleh Izzat Muhammad Syahir Mohd Zulishan pada minit ke-53.

Malaysia kemudiannya meneruskan kenduri gol pada perlawanan itu menerusi jaringan Amir Farhan (68’) diikuti Zamirul Hakim (75’) sebelum Abid Safaraz melengkapkan hatriknya pada minit ke-80.

Pemain gantian Muhammad Shafizan Mohamad Arshad melengkapkan aksi cemerlang pasukan negara dengan jaringan pada minit ke-82, sekali gus menyaksikan pasukan negara berjaya meraih tiga mata penuh untuk mengungguli kumpulan C.

Malaysia selepas ini akan menentang Singapura pada Isnin ini sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan bertemu Thailand pada Khamis depan.

– BERNAMA


Pengarang :