Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tiga, kanan) melihat aktiviti renang kanak-kanak pada majlis Perasmian Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang Parlimen Kota Melaka di RNJ Swimming Academy, Kota Laksamana pada 13 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Atlet peroleh emas Olimpik Paris bakal raih pelbagai ganjaran termasuk RM1 juta

MELAKA, 13 JULAI: Ganjaran bagi atlet kebangsaan yang meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 dijangka bertambah apabila semakin ramai pihak tampil memberi sumbangan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Hannah berkata sumbangan tersebut adalah sebagai peluang kepada syarikat swasta memberi semangat dan sokongan kepada atlet negara yang berjaya menaiki podium di temasya empat tahun sekali itu.

“Untuk kerajaan, masih kekal RM1 juta, cuma sekarang ini pihak swasta ada menghubungi jawatankuasa Fast Track Road To Gold (RTG) untuk beri ganjaran kepada atlet yang membawa balik pingat emas.

“Bagaimanapun, untuk ganjaran ini, ia akan diumumkan kemudian oleh jawatankuasa program itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kemahiran Latihan Asas (KLAS): Renang Khas Parlimen Kota Melaka di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.

Kerajaan sebelum ini menawarkan ganjaran RM1 juta buat atlet yang merangkul pingat emas di temasya yang berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Sebelum ini media turut dilaporkan atlet negara kebangsaan yang membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik di Paris bakal menerima habuan sebuah kereta berjenama luar negara.

Mengulas mengenai KLAS: Renang Parlimen Kota Melaka, beliau mengumumkan peruntukan tambahan RM15,240 bagi pembangunan program yang meliputi tiga kategori iaitu kanak-kanak dari keluarga B50, Orang Kurang Upaya dan warga emas.

“Peruntukan ini akan disalurkan melalui Persatuan Perenang dan Jurulatih Renang Malaysia (MASWIM) dan diharap memberi faedah kepada 40 lagi peserta yang dipilih oleh Khoo, sama ada peserta kanak-kanak atau warga emas. Ini adalah untuk memberi peluang kepada golongan tidak berkemampuan atau akses ke kelas latihan atau kolam renang untuk anak-anak mereka,” katanya.

Hannah mahu menjadikan renang sebagai bukan sahaja sukan, tetapi suatu kemahiran menyelamatkan nyawa memandangkan saban tahun terdapat kes lemas dilaporkan terutama ketika musim banjir.

Untuk itu katanya, kerajaan memperuntukkan RM3.6 juta dalam Belanjawan 2024 bagi memperluaskan pelaksanaan KLAS Renang bagi 2024.

“Kita telah selesai bagi fasa 1 2024 (Jun) dengan 1,572 peserta, manakala fasa kedua yang bermula 27 Julai nanti akan diadakan di 39 lokasi di seluruh negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :