RAMALLAH, 26 JULAI: “Berada di Paris untuk mengibarkan bendera Palestin dan menyebut perkataan ‘Palestin’, sudah menjadi kemenangan,” kata perenang Olimpik Palestin, Yazan Al Bawwab kepada Xinhua dalam satu wawancara video baru-baru ini.
Pemuda Palestin berusia 24 tahun itu akan bertanding dalam acara 100 meter kuak lentang lelaki di Sukan Olimpik Paris, lapor Xinhua.
“Bagi mana-mana rakyat Palestin, tidak kira bagaimana anda beraksi dalam pertandingan; berada di sini dan menjadi sebahagian dari seluruh dunia adalah kemenangan,” katanya.
Al Bawwab yang tiba di ibu negara Perancis, akan menjadi pembawa bendera pasukan Palestin pada upacara pembukaan.
Ini adalah Sukan Olimpiknya yang kedua selepas penyertaannya di Tokyo.
Dengan konflik di Gaza telah berlanjutan selama 10 bulan, pasukan Palestin mendapat lebih banyak perhatian.
“Ada lebih banyak mata yang memandang ke arah Palestin. Ada lebih banyak liputan media tentang Palestin. Ada lebih ramai orang yang mengambil berat tentang Palestin,” katanya kepada Xinhua, sambil menambah bahawa beberapa atlet telah bertanya tentang keluarganya di Palestin.
Jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel di Gaza telah meningkat kepada 39,145, dengan kira-kira 90,257 lagi cedera sejak 7 Oktober tahun lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza pada Rabu.
Bapa Al Bawwab juga pernah bercita-cita menjadi perenang.
Bagaimanapun, setelah meninggalkan Palestin pada usia muda, bapanya menghadapi kesukaran termasuk terpaksa tidur di jalanan hingga menghalangnya mengejar impian.
Dilahirkan di Arab Saudi dan dibesarkan di Dubai, Al Bawwab merealisasikan impian bapanya dan meneruskannya.
Sepanjang tahun lalu, Al Bawwab telah berlatih selama 10 jam seminggu.
“Saya telah melalui masa yang sangat sukar. Saya terpaksa bekerja untuk menyara diri untuk berenang,” katanya.
Sejak menyertai kem latihan di Paris, dia menggandakan tempoh latihannya kepada 20 jam seminggu sebagai persediaan untuk Olimpik.
“Kali ini, saya boleh melakukan lebih baik daripada di Tokyo,” kata Al Bawwab.
Beliau menganggap dirinya “duta Palestin tidak rasmi,” dan mahu menikmati temasya ini.
“Saya kenal ramai atlet di Gaza dan Tebing Barat yang mempunyai semangat tinggi terhadap sukan dan berpegang pada impian mereka walaupun menghadapi kesukaran.
“Sebagai rakyat Palestin, apabila kami mempunyai semangat, kami terus mengejarnya, walaupun semua peluang kelihatan tertutup bagi kami.
“Sukan adalah sesuatu yang hebat, dan ia adalah cara untuk menyebarkan kegembiraan kepada ramai orang. Saya bersyukur untuk itu,” kata pemuda itu.
– BERNAMA-XINHUA