AGENDAJENAYAH

Bapa ditahan dipercayai rogol anak hingga mengandung

SEREMBAN, 15 JULAI: Bapa berusia 52 tahun ditahan semalam selepas disyaki merogol anak perempuan kandungnya sejak enam tahun lalu sehingga melahirkan anak di Gemencheh dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata lelaki itu ditahan pada 10 malam, selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian terbabit daripada ibu saudara mangsa kira-kira setengah jam sebelum itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku sejak 2019 sehingga Julai lalu. Mangsa yang juga tidak bekerja itu tidak mahu membuat laporan kerana takut terjadi apa-apa terhadap dirinya.

“Mangsa yang berusia 24 tahun melahirkan seorang anak perempuan yang kini berumur empat tahun. Susulan itu, lelaki berkenaan direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :