Ilustrasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Bertaraf dunia, stadium bola boleh ‘bertukar’ arena badminton, hoki

Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dibangunkan atas tapak stadium bersejarah, lambang kebanggaan sejak 1994, bakal mengubah landskap ibu negeri Selangor.

Lengkap pelbagai kemudahan bertaraf dunia, pembangunan semula itu bertujuan menjadikannya lokasi pelbagai guna. Selain kegiatan sukan dan seni antarabangsa, KSSA juga menjana ekonomi dan tumpuan rekreasi awam.

Struktur lama Stadium Shah Alam yang sedang diroboh membolehkan pembangunan atas tapak tersebut, seluas 80 hektar di Seksyen 13, dalam tiga fasa yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029.

Fasa pertama melibatkan pembinaan semula stadium, plaza parkir dan terminal bersepadu menghubungkan transit aliran ringan 3 (LRT3) yang siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Fasa kedua merangkumi pembangunan komersial seperti sayap sukan, sayap belia, teater tertutup berkapasiti 10,000 orang, ruang niaga dan kawasan rekreasi yang bakal siap pada 2028.

Fasa ketiga pula pembinaan hotel yang boleh digunakan pada akhir 2029.

Projek KSSA turut membabitkan tebatan banjir dengan pembinaan kolam takungan bawah tanah seluas 4.04 hektar, sekali gus mengatasi masalah bah kawasan berkenaan yang terletak tidak jauh dari Sungai Damansara.

Akibat beberapa kali dilanda bah antara 2006 dan banjir besar 2021, selain kualiti padang rumput, kemudahan seperti bilik persalinan, sistem pendawaian dan bilik bekalan elektrik mengalami kerosakan.

Sewaktu model kompleks baharu tersebut dipamerkan kepada awam pada awal tahun lalu, banyak pihak melahirkan rasa gembira dengan pembangunan semula itu.

Orang ramai melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dalam pameran awam di pusat beli-belah SACC, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Futuristik

Stadium direka dengan konsep futuristik yang lebih kecil, memuatkan antara 40,000 hingga 45,000 penonton berbanding kapasiti lama lebih 80,000 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop menjelaskan kerosakan akibat banjir mulai 2006 tidak sesuai lagi diperbaiki.

“Hakikatnya, keadaan dan kerosakan dialami lebih mewajarkan ia dibangunkan semula,” katanya kepada Berita Harian pada 2 Julai. KSSA diletakkan sebagai projek MBI, pemilik kompleks tersebut bagi pihak kerajaan.

“Kajian keadaan stadium asal berkapasiti 80,372 penonton itu mendapati adalah lebih ideal jika dibina stadium yang memuatkan antara 40,000 hingga 45,000 tempat duduk.

“Ia dibangunkan bersekali kemudahan baharu dilengkapi pusat latihan dan fasiliti sukan yang komprehensif, disokong dengan pembinaan hotel, pusat beli-belah serta pejabat bersesuaian keperluan,” katanya.

Di sini, padang bola dibina boleh alih bagi menjamin kesegaran rumput dan memudahkan acara lain seperti badminton atau hoki. Berbumbung dan berhawa dingin, ia mudah diselenggara dan boleh digunakan untuk pelbagai acara seperti konsert atau perhimpunan.

Di sekelilingnya, terdapat masjid, hotel, pusat belia, kawasan permainan kanak-kanak, ruang rehat keluarga, ruang niaga, selain akses bagi warga emas dan orang kurang upaya.

Projek besar ini dijalankan mengikut prosedur, termasuk mengadakan pameran dan libat urus pelbagai pihak agar sebarang bantahan dan maklum balas dapat dibincang.

Pameran model reka bentuk dibuat antara Januari dan Februari 2023 di pusat beli-belah SACC, Shah Alam, sebahagian proses mengumpul pandangan orang ramai.

Untuk memastikan ia berjalan lancar, struktur lama diruntuh dengan kaedah konvensional tanpa mengggunakan bahan letupan dengan mengawal kesan bunyi dan debu kepada penduduk di sekitarnya.

Setelah permit meroboh struktur dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 14 Jun, kerja-kerja dilakukan mulai 1 Julai. Kerusi yang masih elok diagihkan untuk kegunaan stadium pihak berkuasa tempatan.

Ciri Menarik Kompleks Sukan Shah Alam

  • stadium bertaraf antarabangsa
  • kapasiti 40,000 ke 45,000 penonton
  • 60 peratus kawasan untuk sukan
  • 40 peratus ruang rekreasi awam
  • padang boleh alih untuk pelbagai acara
  • jalinan LRT dan pengangkutan awam
  • ada kolam takungan bawah tanah atasi banjir
  • boleh anjur berbagai-bagai acara bukan sukan

Pengarang :