EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin ketika sidang media Karnival Alam Sekitar Peringkat Selangor selepas Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 10 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Caj beg plastik: Kutip RM38 juta sejak 2020, salur dana anjur program kelestarian

SHAH ALAM, 10 JULAI: Kerajaan Selangor mengumpul sebanyak RM38 juta hasil daripada caj 20 sen untuk setiap beg plastik yang dilaksanakan sejak 2020 hingga tahun lepas, kataEXCO Alam Sekitar.

Jamaliah Jamaluddin berkata wang kutipan itu disalurkan kembali sebagai peruntukan untuk penganjuran program kelestarian oleh kerajaan negeri bagi mendidik rakyat mencintai dan memelihara alam sekitar.

“Hasil kutipan itu, kita salurkan kembali untuk laksanakan program seperti Karnival Alam Sekitar Peringkat Negeri Selangor 2024 pada 20 dan 21 Julai ini, kerja pemasangan lampu solar, Program Pokok untuk Pendidikan, Sambutan Hari Bumi dan Projek Kebun Komuniti,” katanya di sini hari ini.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin bergambar bersama maskot Karnival Alam Sekitar Peringkat Selangor ketika sidang media selepas Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 10 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media pengumuman penganjuran Karnival Alam Sekitar Peringkat Selangor yang akan diadakan di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya.

Jamaliah berkata menerusi program itu juga, kerajaan negeri akan menjalankan dapatan untuk mengumpul pandangan orang awam bagi kenaikan caj setiap beg plastik di Selangor.

“Ada pihak membangkitkan sama ada perlu menaikkan harga beg plastik, namun kerajaan Selangor ingin mendapatkan pandangan rakyat menerusi karnival ini,” katanya.

Bertemakan “Kempen Bebas Plastik”, Jamaliah berkata karnival itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam usaha mengurangkan penggunaan dan penghasilan sisa plastik dalam kehidupan seharian selain mengamalkan budaya hidup lestari.

“Sempena karnival ini sebanyak 29 reruai terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, peniaga kecil dan pihak swasta menawarkan pelbagai pameran serta bengkel interaktif berkaitan kesedaran alam sekitar,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :