Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis amanat khas PM bersama penjawat awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam pada 12 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cuepacs: Penjawat awam muflis terima peluang kedua diseru perbaiki kewangan

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Penjawat awam yang dilepaskan daripada senarai muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) menerusi Dasar Peluang Kedua disaran memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan kerajaan dengan memperbaiki kesihatan kewangan masing-masing.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat berkata dasar itu adalah peluang keemasan buat penjawat awam yang mempunyai masalah hutang tinggi untuk menyusun semula kewangan dan meningkatkan mutu hidup.

“Cuepacs sangat berharap semua pihak terutama penjawat awam yang diberi peluang kedua ini mengambil iktibar untuk membaiki diri supaya tidak lagi terjebak dalam masalah hutang yang akhirnya mengakibatkan mereka diisytiharkan muflis semula.

“Dasar ini bukan sahaja sebagai suatu peluang keemasan kepada penjawat awam tetapi juga satu bentuk ihsan daripada kerajaan sendiri yang jelas mengambil kira dan peduli kekangan dihadapi penjawat awam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dasar Peluang Kedua merupakan satu inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk membela nasib rakyat muflis dengan jumlah hutang berskala kecil dengan melepaskan mereka daripada muflis melalui syarat tertentu, bermula 1 Mac 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 berkata Dasar Peluang Kedua diperluaskan kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun ini.

Adnan berkata ketua perkhidmatan dan ketua Jabatan Integriti kementerian perlu memainkan peranan untuk memastikan penjawat awam tidak terjerumus dalam masalah hutang dan menjamin kebajikan mereka.

Beliau berkata ini kerana kes muflis dalam perkhidmatan awam boleh menyebabkan berlaku salah laku integriti serta penurunan produktiviti, apabila penjawat awam tertekan dengan masalah kewangan dihadapi.

“Angka penjawat awam yang masih dalam status muflis ketika ini adalah 3,265 daripada 1.62 juta penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata pihaknya berpuas hati dengan cadangan kadar pelarasan gaji penjawat awam yang dijangka dilaksanakan hujung tahun ini.

“Cuepacs yakin hasrat untuk kumpulan terkebawah (penjawat awam bergred rendah) mendapat wang yang dibawa pulang sekurang-kurangnya melebihi RM2,000 tercapai dan ini akan memberi sedikit kelegaan kepada keperluan perbelanjaan mereka,” katanya.

Perdana Menteri pada 1 Mei lalu mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam melibatkan kenaikan sekurang-kurangnya 13 peratus akan dilaksana pada hujung tahun ini manakala pada 26 Jun lalu, beliau berkata perincian berhubung perkara itu akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025, Oktober ini.

– BERNAMA


Pengarang :