AGENDANASIONAL

Demam denggi berkurangan kepada 2,373 kes minggu lalu, tiada kematian direkodkan

PUTRAJAYA, 21 JULAI: Kes demam denggi dilaporkan berkurangan kepada 2,373 kes pada Minggu Epidemologi ke-28 (ME28) iaitu bagi tempoh 7 hingga 13 Julai lalu berbanding 2,805 kes pada minggu sebelumnya, dengan tiada kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME28 adalah 80,441 kes berbanding 63,966 kes bagi tempoh sama pada 2023.

“Terdapat 65 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 45 kematian bagi tempoh sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME28 pula 100 lokaliti berbanding 86 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan. Foto BERNAMA

Menurutnya daripada 100 lokaliti dilaporkan, 74 lokaliti di Selangor, masing-masing enam lokaliti di Negeri Sembilan dan Perak, enam lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, empat lokaliti di Kedah, dua lokaliti di Pulau Pinang serta masing-masing satu di Sarawak dan Sabah.

Dr Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya, terdapat tujuh kes direkodkan pada ME28 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 54 kes.

Bagi survelan zika pula, beliau berkata 1,437 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cecair serebrospinal dijalankan saringan zika, dan hasil kesemuanya adalah negatif.

– BERNAMA


Pengarang :