Salah seorang penerima BINGKAS Salina Damsah membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di Pasaraya Maju A&A, Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dua kali mohon BINGKAS, suri rumah harap dapat bantuan bulanan RM300

PETALING JAYA, 11 JULAI: Seorang suri rumah berharap permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) diluluskan susulan syarat pendapatan isi rumah dinaikkan kepada RM5,000.

Dua kali memohon, Siti Jamilah Qizar, 43, tidak berputus asa, selain menganggap rezekinya belum tiba untuk merasai sebahagian manfaat yang ditawarkan Kerajaan Selangor sejak 2022.

Ibu kepada dua orang anak yang mengusahakan jualan makanan secara kecil-kecilan bersama suami menjelaskan pendapatan bulanan mereka sekeluarga ketika ini bawah RM3,000.

Siti Jamilah Qizar, 43, ditemui pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di parkir Masjid Al Husna, Bandar Sunway pada 10 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Dua kali mohon BINGKAS tetapi belum ada rezeki. Harap apabila syarat permohonan dilonggar, saya berpeluang terima bantuan bulanan RM300 untuk tampung perbelanjaan keluarga,” katanya.

Seorang lagi suri rumah Dayang Sabran, 47, yang pernah menerima BINGKAS selama dua tahun menganggap insentif itu membantu meringankan beban keluarganya membeli barangan asas bulanan.

Meskipun jumlahnya kecil, ibu kepada lima anak itu tetap bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima di sebalik ribuan permohonan yang dihantar kepada pentadbiran negeri.

“Justeru, kelonggaran syarat permohonan yang diumumkan amat bagus kerana tidak semua berpendapatan RM5,000 itu senang. Ada banyak tanggungan, tambahan pula harga barang mahal,” katanya.

Bekas tentera Samad Husin, 64, ditemui pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di parkir Masjid Al Husna, Bandar Sunway pada 10 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sementara itu, bekas tentera Samad Husin, 64, memuji langkah Selangor melonggarkan syarat permohonan BINGKAS dan menyifatkan ia membantu golongan ibu tunggal dan ketua keluarga.

“Insentif ini amat bagus terutama buat ibu tunggal yang perlu menyara anak ramai. Manfaat ini juga dapat meringankan beban ketua keluarga yang mana suaminya sahaja bekerja,” katanya.

Pada 5 Julai, EXCO kebajikan mengumumkan syarat permohonan BINGKAS dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini, bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.

Anfaal Saari berkata bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan boleh dimohon sehingga 15 Ogos menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau laman sesawang www.bingkasselangor.com.


Pengarang :