AGENDAJENAYAH

Dua remaja cedera terkena serpihan batu bata dinding pasar raya runtuh

IPOH, 23 JULAI: Dua remaja lelaki cedera ringan selepas terkena serpihan batu bata yang jatuh akibat runtuhan dinding sebuah pasar raya di sini semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut, kira-kira 4.45 petang selain melibatkan kedua-dua mangsa berusia 15 tahun.

Beliau berkata runtuhan melibatkan dinding sebelah kanan iaitu bersebelahan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta di sini dan melibatkan sebuah motosikal yang sedang melalui jalan bersebelahan pasar raya itu.

“Kejadian melibatkan dua mangsa yang menaiki motosikal melalui kawasan tersebut, mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan batu bata runtuhan. Makluman dari orang awam, mangsa dibawa ke hospital oleh orang awam dan maklumat mangsa tidak diketahui,” katanya dalam kenyataan.

Pada 10 Mac lalu, pasar raya tersebut telah terbakar berpunca kerosakan panel pembahagi elektrik di bangunan itu.

– BERNAMA


Pengarang :