AGENDANASIONAL

Dukung prinsip amanah, salah laku MPN tidak wakili nilai golongan ilmuwan

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kumpulan 70 profesor Melayu memandang serius Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 berhubung salah laku dalam tadbir urus Majlis Profesor Negara (MPN).

Kumpulan yang dikenali sebagai Profesor G70 itu memaklumkan, pendedahan tersebut memberi persepsi negatif terhadap ribuan profesor yang tidak mempunyai kaitan dengan MPN.

“Pendedahan berhubung pelbagai kepincangan dalam badan yang memakai nama profesor tersebut boleh memberi persepsi negatif terhadap ribuan profesor yang tidak ada kena mengena dengan MPN.

“Maka, Profesor G70 menggesa kerajaan mengambil maklum bahawa kesalahan yang telah dikenal pasti dalam laporan tersebut tidak sesekali mewakili nilai-nilai komuniti profesor dalam negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kumpulan itu menjelaskan, MPN merupakan syarikat berhad dengan jaminan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan bukannya persatuan dibawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Justeru, katanya, MPN bukan sebuah organisasi masyarakat sivil yang mendapat mandat untuk mewakili kelompok ilmuwan bertaraf profesor secara mutlak.

“Kami Profesor G70 adalah barisan profesor dan ilmuwan pelbagai bidang yang sama-sama mendukung prinsip yang termaktub dalam Deklarasi 16 November 2022, termasuklah memastikan negara memiliki sebuah kerajaan yang teguh, beramanah dan bertanggungjawab terhadap masa depan rakyat dan mendukung perpaduan nasional,” katanya.

Kelmarin, LKAN mendedahkan MPN menyalahguna dana dan didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516.

Malah, ia mewujudkan konflik kepentingan apabila dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat terbabit, selaras Akta 777 (Akta Syarikat 2016).


Pengarang :