Orang ramai melakukan pemeriksaan kesihatan pada Program Selangor Saring DUN Paya Jaras di Dewan Meranti MBSA Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20, Shah Alam pada 6 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
ADNSELANGOR

DUN Batu Tiga peruntuk cermin mata percuma dalam program Selangor Saring

SHAH ALAM, 16 JULAI: Seramai 20 peserta Selangor Saring Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang mengalami masalah rabun bakal menerima cermin mata percuma.

Wakil rakyatnya Danial Al-Rashid Haron berkata berlangsung pada Sabtu ini di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan, program turut menyediakan subsidi pembelian alat berkenaan.

“Untuk DUN Batu Tiga, kita akan sediakan kaunter periksa mata. Ini memudahkan penduduk membuat pemeriksaan mata mereka.

“Jadi 20 peserta saringan mata terawal akan diberikan cermin mata percuma. Kita galakkan peserta membuat pendaftaran di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi memudahkan urusan,” katanya kepada SelangorKini.

Danial berkata pihaknya menyasarkan lebih 300 peserta menyertai program yang berlangsung dari 9 pagi hingga 3 petang.

Selangor Saring diperkenal 2022 bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal, terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Skim tersebut ditambah baik tahun lalu dengan beberapa lagi khidmat saringan disediakan antaranya pemeriksaan gigi dan telinga selain mengadakan sesi fisioterapi.

Menerusi belanjawan tahun ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.


Pengarang :