Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Invest ASEAN 2024 di Melbourne, Australia pada 7 Mac 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Ekonomi negara berkembang 5.8 peratus, langkaui jangkaan semua pihak

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjur berkembang 5.8 peratus pada Suku Kedua 2024 akan memberi kesempatan kepada negara untuk bangkit menjadi lebih gagah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dalam Ekonomi MADANI, kerajaan menjanjikan peluang pekerjaan, latihan dan pemindahan teknologi yang lebih baik menuju ke arah pendigitalan dan peralihan tenaga.

“Malaysia telah pecah tembok kerunsingan dengan mencatat pertumbuhan menakjubkan 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini, luar daripada jangkaan biasa, luar daripada unjuran yang dikemukan oleh semua pihak.”

“Saya yakin dengan kerjasama dan tumpuan kita kepada pembangunan ekonomi, kita akan berjaya,” kata Anwar menerusi hantaran video di laman X rasmi beliau, hari ini.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengunjurkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.8 peratus pada Suku Kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya dan merupakan pertumbuhan tertinggi sejak Suku Kedua 2022 pada 7.4 peratus.

Perdana Menteri juga mengucap terima kasih kepada rakyat, pekerja, golongan profesional dan pelabur yang terus memberi kepercayaan kepada hala tuju Ekonomi MADANI.

“Dengan penuh tawaduk, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat, penghargaan tidak terhingga kepada warga pekerja sama ada di pihak kerajaan mahu pun swasta, terima kasih tidak terhingga kepada warga profesional dan terima kasih kepada para pelabur yang terus yakin dengan hala tuju ekonomi MADANI,” kata beliau.

Menurut laman web DOSM, pengumuman rasmi KDNK Suku Kedua 2024 akan diadakan pada 16 Ogos, 2024.

— BERNAMA

 


Pengarang :