Anggota polis berjalan masuk ke hotel Grand Hyatt Erawan, yang dipercayai menyebabkan sekurang-kurangnya enam dilaporkan terkorban, di Bangkok, Thailand pada 16 Julai 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Enam ditemukan maut di bilik hotel, PM Thailand arah siasatan

BANGKOK, 17 JULAI: Enam orang – tiga lelaki dan tiga wanita – ditemukan maut di sebuah bilik hotel terkemuka di kawasan Ratchaprasong di sini, Selasa, dipercayai akibat keracunan.

Mangsa dilaporkan dua warga Amerika Syarikat berketurunan Vietnam manakala empat lagi adalah warga Vietnam.

Dalam respons segera, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Jeneral Polis Porsak Sukvimol untuk menyiasat kes itu dengan segera dan menyeluruh, serta mengambil alih kawalan situasi bagi memastikan tiada kesan buruk atau bahaya kepada orang awam dan pelancong.

Bercakap kepada media di lokasi kejadian pada malam Selasa, Srettha berkata mayat-mayat itu ditemukan pada 4.30 petang.

Beliau berkata siasatan awal oleh polis menunjukkan mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh kurang daripada 24 jam disyaki akibat keracunan kerana tiada tanda-tanda trauma atau rompakan.

Srettha yang diiringi Torsak, berkata beliau juga telah memberi taklimat kepada Duta Vietnam ke Thailand Pham Viet Hung, mengenai kes itu.

Polis Thailand sedang menyiasat kes itu dengan meneliti rakaman CCTV dan menemu bual saksi untuk menentukan punca kematian.

-BERNAMA

 


Pengarang :