EXCO Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berucap pada majlis Perasmian AgroGreen dan Hari Rendah Karbon di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 13 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO galak pertanian jadi aktiviti JMB, persatuan penduduk

KUALA LANGAT, 14 JULAI: Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Bersama (MC) dan persatuan penduduk kawasan perumahan digalak menjadikan pertanian sebagai salah satu aktiviti persatuan.

EXCO perumahan berkata program itu bukan sahja menjana pendapatan malah mempertingkat kualiti alam sekitar sejajar matlamat Rancangan Selangor Pertama untuk menjadi negeri ini rendah karbon menjelang 2030.

“Saya galakkan supaya JMB atau MC ini mereka jadikan sebagai salah satu aktiviti persatuan. Daripada hasil yang dikutip itu kita boleh jana pendapatan sebenarnya.

“Tidak perlu kawasan besar tetapi saya yakin kalau mereka ada kesungguhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Jabatan Pertanian akan bantu selain kerjasama dengan agensi kerajaan lain,” kata Borhan Aman Shah.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah menyampaikan sijil myGap kepada penerima pada majlis Perasmian AgroGreen dan Hari Rendah Karbon di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 13 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu beliau merasmikan Karnival Agrogreen dan Hari Rendah Karbon@Kuala Langat 2024 di Dataran Pantai Batu Laut di sini, semalam.

Beliau menambah inisiatif pemaju menyediakan tapak khas bagi membolehkan pemilik rumah menanam pokok juga digalak.

“Ada pemaju kita belum cadangkan pun, memang sudah ada (sediakan) tapak khas. Selain untuk kegunaan rekreasi mereka juga menyediakan tapak lapang untuk persatuan penduduk jadikan sebagai kawasan tanaman hasil pertanian.

“Memang kerajaan negeri galakkan insiatif seperti pertanian bandar untuk menjadikan perumahan sebagai kawasan hijau,” katanya.

Kanak-kanak menangkap ikan gapi di gerai pameran Jabatan Perikanan Malaysia pada majlis Perasmian AgroGreen dan Hari Rendah Karbon di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 13 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Karnival Agrogreen dan Hari Rendah Karbon@Kuala Langat 2024 berlangsung dua hari sehingga hari ini dengan pelbagai pengisian termasuk pameran pertanian, taklimat asas tani dan landskap, inisiatif keterjaminan makanan serta aktiviti berteraskan inisiatif rendah karbon.

Selain itu, aktiviti pembersihan pantai, berkelah@bandar, jualan barangan pertanian serta ‘petting zoo’.


Pengarang :