EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah bercakap kepada media selepas Majlis perasmian Pusat Data JAIS di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 21 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Langgar syarat tauliah, Jais teliti isu fakta kuliah Ustaz Don

SUBANG JAYA, 7 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih menjalankan siasatan terhadap Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berhubung ketepatan fakta kuliahnya di negeri ini.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata pihak berkuasa agama negeri berhak meminta penjelasan bertulis daripada penceramah tersebut atau memanggilnya jika perlu.

“Isu membabitkan Ustaz Don sedang dalam proses siasatan dan penelitian terperinci pihak Jais. Sama ada beliau dipanggil atau tidak ia adalah siasatan dalaman Jais… namun proses itu sedang berlangsung.

“Kita serahkan kepada Jais untuk melakukan siasatan,” katanya ditemui pemberita selepas program Jualan Ehsan Rahman di tapak parkir Dewan D’Kelana, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Semalam, Jais memaklumkan pihaknya belum menerima kenyataan bertulis daripada Ustaz Don Daniyal berhubung fakta kuliah ceramah agama yang dibuat.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan kenyataan bertulis itu belum diserahkan kepada Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Jelasnya lagi, tindakan mengemukakan kenyataan bertulis itu selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 supaya penggantungan atau penarikan semula tauliah tidak dilaksanakan oleh jawatankuasa berkenaan terhadap Ustaz Don Daniyal.

Pada 21 Jun, Jais mengarahkan semua agensi dan rumah ibadat menangguhkan atau tidak mengundang Ustaz Don Daniyal untuk mengajar atau apa-apa perkara berkaitan Islam di premis masing-masing.

Keputusan ini susulan isu pengajaran atau ceramah agama Islam disampaikannya disyaki melanggar beberapa ketetapan dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Dalam kenyataan sama, Mohd Shahzihan turut mengingatkan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya pemegang tauliah memberi kefahaman Islam yang tepat mengikut sumber sahih.

Pada 5 Jun, Ustaz Don Daniyal direhatkan daripada bersiaran dalam rancangan Salam Baitullah terbitan RTM susulan kenyataannya mengenai kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang tidak disokong dalil sah.

Bagaimanapun selepas muncul kembali mengendali program tersebut, beliau sekali lagi menimbulkan kekeliruan apabila mengeluarkan kenyataan mengenai manfaat memandang wajah guru lebih baik berbanding sedekah kepada 1,000 ekor kuda di jalan Allah.

 


Pengarang :