Orang ramai menjalani saringan kesihatan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri melalui Selcare pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Saringan barah hati ditambah dalam program Selangor Saring

SHAH ALAM, 10 JULAI: Pemeriksaan hati bagi mengesan barah ditambah dalam program Selangor Saring pada masa akan datang, kata EXCO kesihatan.

Jamaliah Jamaluddin berkata pihaknya bakal membincangkan perkara itu dan menjalankan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi meneliti segala keperluan aspek.

“Pada 2022, agensi penyelidikan kanser antarabangsa (IARC) bawah Pertubuhan Kesihatan Dunia memaklumkan barah hati merupakan kanser keempat tertinggi yang direkodkan di negara ini. Melibatkan 2,363 kes atau 4.6 peratus.

“Justeru, Kerajaan Negeri akan melaksanakan perbincangan dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan untuk menjadikan saringan barah hati sebagai satu saringan bawah program Selangor Saring kelak,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Jamaliah berkata Selangor Saring menjalankan 233,554 saringan sepanjang tahun lalu bagi mengesan penyakit dihidapi penduduk negeri ini.

Jelasnya jumlah itu meningkat lebih 70,000 berbanding 156,499 saringan dilakukan sepanjang penganjuran program kesihatan percuma itu pada tahun sebelumnya.

“Berdasarkan data Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan, saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) bagi tekanan darah tinggi, lebih berat badan dan obesiti menunjukkan trend penurunan peratusan pada 2023 berbanding 2022.

“Manakala trend peningkatan pula direkodkan bagi kolesterol dan kandungan gula dalam darah,” katanya.

Selangor Saring diperkenal 2022 bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal, terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Skim tersebut ditambah baik tahun lalu dengan beberapa lagi khidmat saringan disediakan antaranya pemeriksaan gigi dan telinga selain mengadakan sesi fisioterapi.

Menerusi belanjawan tahun ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.


Pengarang :