EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim menjawab pertanyaan ketika Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam pada 5 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Senarai lima projek, laksana 100 hari selepas cukai tafsiran dikuatkuasakan

SHAH ALAM, 10 JULAI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah menyenaraikan lima projek khidmat awam yang mahu dilaksana dalam tempoh 100 hari selepas cukai tafsiran baharu dikuatkuasakan.

EXCO kerajaan tempatan berkata inisiatif itu menunjukkan kesungguhan PBT selepas mengenakan kadar baharu sekali gus membolehkan pembayar cukai mengetahui arah tuju bayaran.

“Saya minta semua PBT huraikan lima projek penting untuk rakyat yang boleh diselesaikan dalam tempoh 100 hari dan projek boleh siap dalam setahun.

“Projek ini berkait dengan perkhidmatan kepada rakyat contohnya penyediaan infrastruktur, naik taraf jalan atau landskap untuk pembayar cukai tahu apa PBT kawasan mereka lakukan,” kata Ng Suee Lim di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Hulu Bernam Mu’izzuddeen Mahyuddin, beliau berkata kenaikan cukai baharu perlu memandangkan terdapat PBT yang perlu menggunakan separuh daripada belanjawan tahunan bagi memastikan khidmat kepada rakyat lancar serta terurus.

“PBT berdepan kekangan contohnya urus sisa pepejal yang memerlukan kos kewangan tinggi. Ada majlis yang perlu tanggung 30 hingga 50 peratus (belanjawan tahunan) untuk kos kutipan.

“Jadi saya minta huraikan projek penting yang beri manfaat terbaik kepada rakyat supaya pembayar cukai dapat nikmati kewajaran bayaran mereka,” katanya.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu dijalankan PBT demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

Antara 20 hingga 40 tahun ini, lapan PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran membabitkan tanah kosong, perumahan, kilang dan perniagaan.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.


Pengarang :