EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (tiga, kiri) mengadakan sidang media mengenai program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 5 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

EXCO: Sentiasa semak status permohonan BINGKAS di aplikasi SELangkah

SHAH ALAM, 18 JULAI: Pemohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) diingatkan untuk sentiasa membuat semakan di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi mengetahui status permohonan.

EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata menerusi semakan di aplikasi berkenaan, pemohon juga boleh mengetahui sekirannya dokumen yang dilampirkan sebelum ini tidak lengkap atau jelas.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ketika sidang media insentif MamaKerja di Wisma Dewan Annex Negeri Selangor, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR

“Setiap pemohon perlu memuat naik dokumen pengesahan diperlukan di SELangkah dan kita wujudkan sistem lampu isyarat jika lulus hijau, sekiranya ada perlu kemaskini warna kuning.

“Oleh itu, pemohon perlu peka selepas 15 Ogos ini dan sentiasa kemaskininya. Ini kerana sebelum ini ada pemohon yang memohon insentif MamaKerja tetapi tidak diluluskan kerana beliau penerima BINGKAS.

“Permohonan mudah sekiranya pemohon maklum tentang syarat-syarat dan kriteria inisiatif selain memuat naik dokumen yang jelas,” katanya menerusi rancangan Hai Selangor hari ini.

Pada masa sama, Anfaal turut mengingatkan penerima supaya menggunakan bantuan RM300 yang dikreditkan dalam e-dompet SELangkah dalam tempoh sebulan.

“Setiap bulan mereka dikreditkan RM300 dan boleh membeli keperluan asas seperti beras, susu, buah di beberapa rangkaian pasar raya seperti 99 Speedmart dan Mydin, namun mereka perlu habiskan dalam tempoh sebulan dan bakinya tidak akan dibawa ke hadapan.

“Jika mereka benar-benar memerlukan, mereka pasti akan menghabiskan bantuan diberikan mengikut tempoh masa ditetapkan untuk keperluan asas,” katanya.

Salah seorang penerima BINGKAS Salina Damsah membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di Pasaraya Maju A&A, Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tambah Anfaal, setiap barangan dibeli menggunakan bantuan tersebut juga direkodkan dan berdasarkan data yang direkodkan antaranya produk kerap dibeli termasuklah susu, lampin pakai buang dan beras.

“Kita hadkan pembelian di rangkaian kedai dan antara tidak boleh dibeli ialah rokok. Namun, peralatan tulis kita benarkan kerana melihat ada keperluan,” katanya.

Pada 5 Julai, Kerajaan Negeri mengumumkan syarat permohonan BINGKAS dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.

Anfaal memaklumkan bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan boleh dimohon sehingga 15 Ogos menerusi aplikasi SELangkah atau laman sesawang www.bingkasselangor.com


Pengarang :