EXCO Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim beramah mesra dengan orang ramai ketika Festival Bon Odori ke-48 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), Shah Alam pada 20 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Festival Bon Odori meriah, jadi medan promosi Tahun Melawat Selangor 2025

SHAH ALAM, 20 JULAI: Festival Bon Odari ke-48 yang disambut sempena pesta kebudayaan musim panas Jepun mendapat sambutan apabila dikunjungi lebih 40,000 pengunjung.

Orang ramai mula membanjiri Kompleks Sukan Negara Shah Alam, dekat sini seawal jam 4 petang dengan berpakaian tradisional Jepun iaitu kimono, yukata dan hakama yang turut dikenakan rakyat tempatan.

Gerai makanan yang menjual pelbagai menu Jepun antaranya sushi, daging panggang, mi ramen dan gyoza (dumpling) turut dipenuhi pengunjung.

Bermula jam 7 malam, festival tahunan itu dimulakan dengan paluan gendang sambil diiringi lagu tradisional negara matahari terbit berkenaan.

Orang ramai mengenakan pakaian tradisional Jepun bergambar bersama keluarga ketika Festival Bon Odori ke-48 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), Shah Alam pada 20 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, EXCO pelancongan berkata ia bukan hanya dihadiri penduduk tempatan sebaliknya turut menarik kehadiran pelancong asing terutama Jepun dan Korea Selatan.

Jelas Dato’ Ng Suee Lim, pesta tahunan itu turut menjadi medan mempromosi negeri ini kepada pelancong sempena sambutan Tahun Melawat Selangor 2025.

“Kami percaya Festival Bon Odari ini memainkan peranan penting dalam menarik pelancong. Ini membantu kita mencapai matlamat untuk menarik lapan juta pelancong tahun depan.

“Kita gunakan segenap ruang dan peluang dalam usaha berkenaan. Selain itu penganjuran juga menunjukkan keterbukaan negeri dalam meraikan kepelbagaian budaya,” katanya pada sidang media.

Orang ramai beriadah bersama keluarga ketika Festival Bon Odori ke-48 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), Shah Alam pada 20 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu Suee Lim diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad beramah mesra dengan pengunjung selain melakukan lawatan ke gerai makanan.

Festival Bon Odori yang dianjurkan hampir setengah abad di negara ini adalah usaha bagi mempromosi dan mengeratkan persahabatan antara Malaysia dan Jepun.

Pada 8 Jun 2022, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berpandangan festival perayaan budaya itu dapat mengeratkan semangat muhibah dengan komuniti Jepun.


Pengarang :