Peserta Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-38 Peringkat Selangor mendeklamasi puisi sempena Festival Puisi Selangor 2024 di Pustaka Raja Tun Uda Seksyen 13, Shah Alam. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Festival Puisi Selangor tarik minat golongan muda, semarak seni tradisi

SHAH ALAM, 20 JULAI: Festival Puisi Selangor 2024 bertempat di Pustaka Raja Tun Uda Seksyen 13 di sini, berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 200 penonton termasuk golongan muda.

Pengarah Festival Puisi Selangor Azree Ariffin berkata berlangsung dua hari sehingga esok, festival berkenaan juga berjaya menarik penyertaan anak muda dalam pelbagai acara.

“Seperti Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-38 Selangor daripada 35 peserta, kira-kira 11 peserta adalah anak muda berusia antara 20 hingga 25 tahun dan ada juga pelajar universiti.

Pengarah Festival Puisi Selangor 2024 Azree Ariffin. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/MEDIA SELANGOR

“Enam peserta akan mara ke peringkat akhir esok dan juara akan mewakili Selangor dalam pertandingan peringkat kebangsaan,” katanya ditemui hari ini.

Azree menambah festival itu turut padat dengan slot forum mengupas pelbagai perkara berkaitan keindahan bahasa dan seni tradisi yang dapat memperkukuh penghayatan sastera masyarakat.

“Ia termasuk cara mendalami teks puisi, penggunaan elemen nyanyian, muzik dan lakonan untuk persembahan puisi serta teknik mendalami puisi ke dalam deklamasi dan lakonan.

“Selain itu wacana bertajuk menyemarakkan sastera di Selangor akan turut berlangsung esok bagi membincangkan dan meneroka peranan penting dimainkan persatuan penulis, agensi kerajaan dan media,” katanya.

Mengulas lanjut katanya esok tiga sasterawan negara iaitu Datuk Dr Zurinah Hassan, Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Dato’ Rahman Shaari akan menyertai forum bertajuk ‘Menenun Damai Melalui Kata’, antara lain akan merungkai bagaimana puisi mampu menyuarakan semangat kemerdekaan dan perjuangan.

“Festival ini turut menggunakan khidmat sukarelawan untuk penganjuran acara bagi memupuk semangat kesukarelawanan budaya selain wadah inisiatif tanggungjawab sosial korporat pihak swasta untuk menyumbang kepada kegiatan kebudayaan melalui penajaan,” katanya.

Festival itu dikendalikan Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (Kemudi) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Media Selangor selaku media rasmi.

Acara lain termasuk jualan buku dan berbalas pantun dengan majlis kemuncak akan disempurnakan EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah petang esok selain akan turut dimeriahkan dengan kehadiran artis tanah air, Farawahida.

Peserta Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-38 Peringkat Selangor mendeklamasi puisi sempena Festival Puisi Selangor 2024 di Pustaka Raja Tun Uda Seksyen 13, Shah Alam. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/MEDIA SELANGOR
Forum bertajuk Puisi Berseni Wadah Pemantapan Sastera sempena Festival Puisi Selangor 2024 di Pustaka Raja Tun Uda Seksyen 13, Shah Alam. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/MEDIA SELANGOR
Pengunjung mengunjungi reruai jualan buku sempena Festival Puisi Selangor 2024 di Pustaka Raja Tun Uda Seksyen 13, Shah Alam. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/MEDIA SELANGOR

Pengarang :