BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Selangor rintis pelan lima tahun, sasar 16 kejayaan

Oleh FARIDZWAN ABDUL GHAFAR

Meski sudah mencapai status negeri paling maju, pentadbiran Selangor enggan berada dalam zon selesa. Sebaliknya ia terus melipatgandakan usaha melakukan anjakan ke tahap lebih maju.

Sentiasa meneroka peluang baharu, Kerajaan Negeri membentang pelan pembangunan lima tahun Rancangan Selangor Pertama (RS-1), 2021-2025, dokumen pertama seumpamanya di peringkat negeri di Malaysia.

Ia menggariskan 14 sasaran atau penunjuk kejayaan. Namun selepas mengambil kira beberapa perkembangan, dua lagi ditambah bagi mengukuh matlamat RS-1 untuk mencapai hasratnya Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur.

Kajian Separuh Penggal (KSP) pelan ini dibentang pada 4 Julai, kurang tiga minggu genap dua tahun RS-1 dikemuka di Dewan Negeri Selangor. Dokumen tersebut dibentang lewat susulan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Semakan dibuat terhadap RS-1 bagi memastikan pembangunan negeri sejajar dasar persekutuan, antaranya Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

Untuk menjayakan 16 sasaran, RS-1 melaksanakan 282 projek, program dan inisiatif (PPI) dalam empat tema: pengukuhan ekonomi (93), kesejahteraan sosial (98), kelestarian (39) dan tadbir urus (52).

Daripada jumlah ini, sebanyak 230 PPI atau 82 peratus sedang dijalankan dan selebihnya sudah berjaya dilaksanakan. Sementara itu, daripada 20 projek pemacu RS-1, 60 peratus sedang dilaksanakan, 25 peratus (permulaan) dan selebihnya (perancangan).

Setiap tema ini menetapkan empat penunjuk kejayaan. Setakat KSP, daripada 16 penunjuk, 11 berada atas landasan tepat untuk mencapai atau melebih sasaran, empat boleh tersasar jika tidak dipercepatkan dan satu lagi perlu ditambah baik.

Huraian lengkap 16 penunjuk kejayaan dalam KSP RS-1 dimuatkan esok.

Sebanyak 51 PPI baharu diperkenal bagi menampung perkembangan semasa yang belum wujud ketika RS-1 dirancang. Satu untuk sejajar dengan NETR dan masing-masing empat untuk NIMP 2030, Ekonomi Madani serta Rancangan Malaysia ke-12.

 

Projek baharu

 

Tujuh lagi PPI baharu dibuat untuk Rancangan Struktur Negeri (RSN), 27 (manifesto Lima Tekad untuk Lima Tahun) dan 10 untuk pelbagai tujuan pembangunan lain.

Setelah lebih dua tahun pelaksanaan, khususnya selepas ekonomi bergerak semula susulan pandemik, KSP menambah baik kekurangan dokumen awal dan mengenal pasti enam keutamaan bagi tempoh 2024-2025.

Pertama, mengukuh prasarana bagi mencapai keseimbangan pembangunan bandar dan luar bandar. Projek besar yang baharu diperkenalkan antaranya:

  • landasan kereta api Jajaran Rel Kita Selangor dari Klang ke Kuala Selangor dan seterusnya Sabak Bernam, selain dari Kuang ke Kuala Selangor. Projek ini mengambil kira pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
  • wilayah baharu Zon Pembangunan Kuala Selangor-Hulu Selangor yang memberi tumpuan kepada pertanian, penternakan air dan ekopelancongan. Sebelum KSP, RS-1 merangka tiga pembangunan wilayah: Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor (ZPE SMG) dan Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS).
  • pembangunan di luar bandar ini bagi menyeimbangkan kepesatan empat bandar raya Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang yang kini dikenali Lembah Klang Raya.

Kedua, mempercepat peralihan tenaga sebagai keperluan agenda sifar bersih (net zero) dengan menjayakan NETR dan NIMP 2030. Untuk itu, Selangor meluluskan

  • projek taman solar berskala besar di tanah pertanian luar kawasan perindustrian
  • loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SISGEP) di Rawang untuk menempatkan loji sisa ke tenaga (WTE) yang dapat menjana elektrik daripada pemprosesan 2,400 tan sampah setiap hari.
  • membangunkan Wawasan Tenaga Sifar Bersih 2040 dengan sasaran kapasiti penjanaan tenaga total sebanyak 1 gigawatt menjelang tahun 2030.
  • Pusat Kecemerlangan untuk Tenaga Mampan (dahulu Pusat Kecemerlangan PV Solar) untuk memajukan kepakaran dan inovasi

 

Jaminan makanan

 

Ketiga, memperkukuh jaminan makanan dan menambah baik tahap sara diri. Selangor ingin menjadi pengeluar hasil pertanian bernilai tinggi dengan peningkatan pengeluaran dan kualiti tanaman makanan serta ternakan menggunakan teknologi moden.

Usaha itu dimajukan, antaranya, dalam wilayah SABDA dan juga zon Kuala Selangor-Hulu Selangor yang menjadi hab pertanian.

Keempat, memacu kepesatan amalan digital dalam transformasi perkhidmatan kerajaan dan membina ekonomi berasaskan teknologi terkini.

Fasa kedua RS-1 akan memperkemas platform dan aplikasi untuk memudahkan masyarakat, contohnya, kaedah pembayaran CEPat dan Selangor Super App.

Selain itu, pembangunan Jaringan SmartSelangor GigaBit (SeGnet) dijangka meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui ketersambungan yang lebih baik.

Kelima, mempertingkat usaha membasmi kemiskinan dan siap siaga menghadapi masyarakat menua.

Penunjuk makro berkaitan kemiskinan mutlak dan relatif belum menunjukan perubahan ketara antara 2020 hingga 2022.

Bagi separuh penggal kedua RS-1, Kerajaan Negeri meningkatkan usaha membasmi kemiskinan menerusi peluasan program sosial seperti Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS).

Bagi berdepan masyarakat menua, ekonomi penjagaan menjadi fokus baharu bagi memastikan khidmat sokongan untuk kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan kumpulan rentan.

Keenam, meningkatkan capaian kepada pembiayaan. Selangor sedang meneroka mekanisme mampan untuk meningkatkan pembiayaan di luar tanggungan awam untuk menyokong pelbagai projek dan keperluan, termasuk kerjasama awam-swasta (PPP).

Selain itu, pelbagai bentuk instrumen ekonomi sedang dikaji seperti mengenakan caj pencemaran bagi pembuangan sisa ke dalam sistem saliran sebagai insentif untuk lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.


Pengarang :