Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Harga beberapa barangan keperluan direkodkan turun susulan rasionalisasi diesel

SHAH ALAM, 16 JULAI: Harga beberapa barangan keperluan direkodkan turun susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel sejak bulan lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata antara barangan tersebut termasuklah bawang dan telur selain harga ayam bersih yang semakin stabil.

“Terdapat barangan yang mencatat penurunan harga selepas sebulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel sebagai contoh kategori barangan seperti bawang dan telur ayam.

“Justeru jika ingin menyatakan kos sara hidup meningkat disebabkan penyasaran subsidi diesel sahaja adalah tidak wajar kerana ada faktor lain yang turut menyumbang kepada kenaikan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (Kuala Terengganu-PN) berhubung kesan pelaksanaan rasionalisasi diesel terhadap kos sara hidup di Dewan Rakyat, hari ini.

Fuziah menjelaskan, kementerian bagaimanapun mengesan dua sub kategori barangan mengalami peningkatan harga iaitu daging dan sayur-sayuran dengan kenaikan antara 0.24 peratus hingga 53.6 peratus.

Menurutnya, dua jenis sayuran mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu tomato dengan kenaikan 53.6 peratus dan cili merah Kulai mengalami kenaikan harga sebanyak 17.4 peratus.

Namun, katanya, peningkatan harga sayuran yang ketara pada bulan lalu disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak menentu dan bukan disumbang penyelarasan harga diesel semata-mata.

“Kementerian melaksanakan pelbagai aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya selain memastikan bekalan sentiasa stabil,” katanya.

Pada 9 Jun lalu kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter, iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 10 Jun.

Susulan itu, kerajaan memperkenalkan inisiatif Budi Madani dengan bantuan tunai RM200 sebulan bagi memastikan peruntukan subsidi disasar kepada golongan yang layak.


Pengarang :