BUDAYARENCANA

Harris dan Kumar Pergi ke Mergong

Oleh Aliaa Alina

Tengah malam itu, tanpa sebarang penjelasan lanjut, Harris memberitahu Kumar bahawa dia ingin menonton perlawanan sabung ayam di Mergong, Kedah.

***

Pertama kali Kumar bertemu Harris sewaktu lelaki itu ingin mencari rumah sewa di Kuala Lumpur.
Berbeza dengan Kumar yang kuat berpegang kepada ajaran Hindu, Harris mengakui bahawa dia seorang agnostik. Walaupun di dalam kad pengenalannya, agama yang dianuti adalah Islam.

Kumar tidak pernah bertanya mengapa Harris memilih jalan hidup begitu. Mungkin dia rasa bukan haknya untuk mencampuri urusan agama seorang manusia.

Namun, sepanjang tempoh perkenalan mereka selama 10 tahun, setiap hari, Kumar melihat Harris menadah tangan dan bibirnya terkumat-kamit membaca surah al-Fatihah. Dalam sehari, tiga atau empat kali Harris berkelakuan begitu. Bagi seseorang yang bertegas bahawa dia tidak percaya kewujudan syurga dan neraka, sudah tentu Kumar merasakan kelakuan itu aneh dan buang tabiat.

Akhirnya, dalam perjalanan mereka ke Mergong, Harris membuka cerita tentang amanat terakhir arwah ibunya, – seorang wanita baik hati yang meninggal dunia 10 tahun lepas, – telah meminta Harris untuk sentiasa mendoakan kesejahteraannya kerana dia ingin masuk syurga.

Mungkin kerana janji itu, Harris tidak peduli andai bacaan al-Fatihah itu diterima atau tidak diterima Tuhan. Tetap dibacakan juga setiap hari kerana dia percaya ibunya berhak untuk masuk ke syurga.

Mereka tiba di kampung pada awal pagi dan duduk di sebuah inap desa. Kumar sudah tidur-tidur ayam di atas sofa. Harris menadah tangan dan kelihatan mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Mungkin surah al-Fatihah.

Kumar terjaga apabila terdengar bunyi pintu rumah ditutup dan dari celah tingkap, dia melihat Harris berjalan seorang diri, memakai kopiah dan berkain pelikat. Harris masuk ke dalam surau yang dipenuhi dengan manusia. Lelaki enigmatik itu masuk ke dalam saf untuk bersama-sama menunaikan solat sunat bagi satu jenazah lelaki.

Wajahnya hiba dan mata berair kemerahan. Kumar melihat sahabatnya mengusung jenazah itu di bahu menuju ke tanah perkuburan. Lelaki itu juga menurunkan jenazah ke dalam liang lahad bersama orang kampung. Akhir sekali, Harris bertalkin di tepi kuburan yang sudah dikambus.

Hati Kumar meronta mahukan penjelasan daripada Harris tentang identiti jenazah itu. Namun Harris sekadar mengajaknya menyorok peknga dan sambal bilis di sebuah gerai. Di situ, dia menunjukkan sebilah pisau kecil yang sudah berkarat.

“Dulu, ayah aku juara sabung ayam. Dia akan sapu racun di taji ini dan ikat di kaki ayam kesayangan, Biring sebelum masuk dalam bon.”

Kumar mengangguk mulai memahami. Harris pernah bercerita bahawa dia ke Kuala Lumpur kerana bergaduh dengan bapanya selepas kematian ibu. Lelaki itu khabarnya duduk bersendirian di sebuah kampung di Kedah.

***

Mereka meredah masuk tempat sabung ayam melalui motosikal kerana tempat perlawanan jauh ke dalam hutan.

Di sekitar bon, beberapa orang lelaki duduk bersembang kosong, manakala dua orang juara sedang membasuh ayam mereka yang berasal dari baka ayam sabung Thailand. Bersusun ayaq koroi berwarna hijau sedikit gelap di atas sebuah meja kayu.

Seorang lelaki kepala gondol dipanggil Nai Bon sedang menghisap rokok John.

Setelah ayam sabung dipadankan bersama lawan, Nai Bon memanggil juara untuk membawa ayam mereka ke bon. Mereka bersepakat untuk lepas terus dan perlawanan pun bermula. Malangnya tak cukup satu ayaq, mereka terdengar siren polis mendekati dan mengepung kawasan hutan.

Mereka semua bertempiaran lari, menyelamatkan ayam masing-masing dan menyusup masuk ke dalam belukar. Harris menarik tangan Kumar yang tergamam lantas mereka bersembunyi bersama Nai Bon dan tiga orang penonton lain.

Nai Bon menenyeh rokoknya di tanah sambil memaki hamun.

“Celaka betoi depa ni. Aku main ayam dalam hutan boleh dok caghi, hat oghang pi lempaq asid, sampai kesudah tak jumpa!”

Dada Kumar berdebar kencang kerana pertama kali terjebak dalam situasi begini, manakala Harris kelihatan tenang sekali, seperti sudah terbiasa dengan keadaan begitu. Hampir sejam mereka duduk mendiamkan diri kerana polis masih berkeliaran di kawasan itu dan menyita semua peralatan sabung ayam.

Mungkin mahu hilangkan kebosanan, Nai Bon bercerita tentang perniagaan diesel subsidi kenalannya di Durian Burung sudah gulung tikar. Sesekali terdengar rungutan ketidakpuashatian tentang aktiviti bookie bola sepak yang tidak diganggu seteruk judi lawan ayam.

“Padahai depa tu lagi untung berjuta berbanding kita yang setakat bertaruh berapa ribu ja.” Kumar tidak pula dapat menafikan kebenaran dalam luahan Nai Bon itu.

“Kumar,” bisik Harris setelah lama mendiamkan diri.

“Kalau fikir secara logik, macam mana seorang yang kuat agama macam mak aku boleh kahwin dengan ayah aku, kaki judi sabung ayam.”

“Jodoh, bro.”

Harris tersenyum kecil. Matanya tak lepas memandang gelanggang ayam itu.

“Cuma lepas mak mati, ayah aku terus sembelih ayam sabung kesayangan. Lepas tu, setiap pagi Jumaat, dia duduk sebelah kubur mak dan baca al-Quran sampailah ke zohor. Semua orang tuduh ayah aku dah hilang akal.”

Kumar hairan, mengapa pula ada yang beranggapan lelaki tua itu gila sedangkan manusia sentiasa diberi peluang untuk bertaubat daripada kemaksiatan. Namun bila difikirkan balik, dia sendiri pernah berasa pelik apabila melihat Harris berdoa kepada Tuhan memohon kesejahteraan ibunya.

Mungkin, fikir Kumar, – sekadar berandaian selepas menimbang tara cerita yang didengari dari mulut Harris, – bahawa dua orang lelaki itu sentiasa merasakan isteri dan ibu (masing-masing), berhak untuk masuk ke dalam syurga.

GLOSARI:
menyorok – bersarapan
bon – gelanggang sabung ayam
juara – orang yang membawa ayam sabung masuk gelanggang
ayaq koroi – air ketum yang dicampur aduk dengan bahan lain
Nai bon – ketua gelenggang
lepas terus – berlawan sabung ayam tanpa pusingan cubaan
satu ayaq – satu pusingan sabung ayam


Pengarang :