Singgahsana dalam Balairung Seri Istana Negara. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Istiadat pertabalan Agong: Dari tiupan nafiri hingga gema nobat

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim pada 20 Julai disempurnakan mengikut adat kesultanan Melayu warisan turun-temurun yang kaya dengan tradisi.

Istiadat indah dan penuh warna warni itu turut disaksikan raja-raja, yang dipertua negeri, kerabat diraja dan tetamu kenamaan termasuk pemerintah negara asing seperti Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Selain itu, pembesar-pembesar negara, pemimpin-pemimpin dan jemputan khas luar negara juga diundang menyaksikan upacara yang bermula 10 pagi di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, dipetik berkata banyak perkara berkaitan persiapan dan peraturan istiadat pertabalan dipantau Seri Paduka termasuk kad jemputan diberi sentuhan warna biru Tiffany iaitu warna kegemaran Baginda.

Buku kecil bertajuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Payung Negara sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah menjelaskan tradisi pada istiadat pertabalan ketua negara bagi Malaysia.

Pada hari pertabalan, tiupan nafiri bergema apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat masuk ke Balairong Seri, Istana Negara. Baginda berdua didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan panglima membawa alat kebesaran diraja diikuti juruiring.

Yang di-Pertuan Agong mengenakan baju rasmi dinamakan Muskat bercorak awan larat dan bunga raya, memakai tengkolok lipatan Dendam Tak Sudah, bengkung, pending diraja, samping dan keris pendek diraja.

Mengikut Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, terdapat kelainan pada pertabalan kali ini kerana Baginda memilih motif daun gambir dan lada hitam pada songket tengkolok, bengkung dan samping.

Motif dua tumbuhan itu sinonim dengan kesultanan Johor moden.

Gendik diraja

Raja Permaisuri Agong pula memakai gendik diraja diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat dan kalung diraja yang boleh ditukar sebagai loket, kerongsang dan anting-anting.

Alat kebesaran lain dibawa bersama ialah cogan agama, cogan alam, cokmar, pedang, keris panjang, sundang diraja, payung ubur-ubur kuning dan tombak berambu.

Serentak itu, kumpulan nobat mendendangkan lagu Raja Berangkat. Bagi pertabalan Sultan Ibrahim, nobat diraja Perak atas perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengiringi Seri Paduka.

Sebaik sahaja Baginda berdua bersemayam atas singgahsana, istiadat dimulakan dengan Datuk Paduka Maharaja Lela bersama Datuk Penghulu Istiadat, pegawai istana dan panglima menghadap membawa al-Quran, keris panjang diraja, surat pengisytiharan dan warkah ikrar. Ketika ini, nobat memainkan lagu Menjunjung Duli.

Keris panjang diraja sebagai keris kerajaan menjadi simbol kebesaran dan kekuasaan Yang di-Pertuan Agong.

Singgahsana itu dipahat 99 nama Allah dan berkubah di bahagian atas sesuai dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Keris panjang

Apabila sampai di hadapan singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela menyambut kitab al-Quran daripada Datuk Penghulu Istiadat dan membawanya naik ke atas singgahsana dan menyembahkannya kepada Seri Paduka.

Kemudian Yang di-Pertuan Agong mencium kitab tersebut dan meletakkannya di meja sisi antara Baginda dengan Raja Permaisuri Agong.

Keris panjang diraja, surat pengisytiharan pertabalan dan warkah ikrar pula diletak di atas meja di hadapan singgahsana.

Seterusnya, Datuk Paduka Maharaja Lela mempersilakan perdana menteri membaca surat pengisytiharan pertabalan.

Selepas perisytiharan dibaca, Datuk Paduka Maharaja Lela menyembah keris panjang diraja kepada Yang di-Pertuan Agong.

Baginda menerima keris kerajaan itu dan menghunus serta mengucup keris berkenaan. Kemudian Baginda menerima warkah ikrar serta melafazkan:

“Beta bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya Beta telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Dengan ini Beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna setiap masa, agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.”

Selepas pembacaan warkah ikrar, nobat bergema dengan lagu Raja Bertabal diikuti dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ tiga kali berturut, diketuai Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti hadirin di Balairong Seri, Istana Negara.

Tembakan meriam 21 das dimulakan dan serentak dengan itu lagu Negaraku dimainkan. Kemudian perdana menteri menyembah ucapan tahniah dan taat setia daripada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Selepas ucapan beliau, Seri Paduka akan menyampaikan titah ucapan serta disudahi dengan baca doa selamat oleh pegawai agama Istana Negara.


Pengarang :