Jalan utama sekitar pusat bandar menghala ke Istana Negara dihiasi banting gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sebagai persediaan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 20 Julai ini ketika tinjauan pada 15 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Istiadat Pertabalan Agong: Tembakan meriam, pameran koleksi peribadi antara pengisian

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Orang ramai khususnya warga kota dinasihatkan tidak cemas jika terdengar bunyi tembakan meriam ketika memandu di sepanjang Jalan Sultan Abdul Halim pada pagi Jumaat dan Sabtu ini.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri Mohd Faidz Sanusi berkata pada 8.30 pagi Jumaat ini, dua das tembakan meriam dilepaskan sempena raptai penuh Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.

“Pada Sabtu iaitu hari sebenar Istiadat Pertabalan, 21 das tembakan meriam dilepaskan juga pada 8.30 pagi. Jadi, sesiapa yang mendengar bunyi tembakan pada waktu itu janganlah cemas,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Faidz berkata acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula esok dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara pada 5.30 petang diikuti Khutbah Jumaat Khas keesokannya.

Mohd Faidz berkata tetamu diraja yang dijangka berangkat ke istiadat pertabalan Sultan Ibrahim Sabtu ini ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.

Beliau berkata acara lain yang akan diadakan ialah Majlis Santapan Diraja di Istana Negara pada Sabtu, manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenaan untuk berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai.

Selain itu, Mohd Faidz berkata Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara pada 25 Julai dan dibuka kepada umum sehari selepas itu hingga 2 September yang memberi peluang orang ramai melihat 130 koleksi diraja sama ada peringkat Persekutuan ataupun negeri Johor.

“Antaranya ada regalia persekutuan, manuskrip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor selain koleksi peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah,” katanya.

Acara sempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong akan diakhiri dengan Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai di Istana Negara.

Mohd Faidz berkata Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong merupakan istiadat penuh simbolik dan satu upacara yang julung kali dapat disaksikan kerana diadakan hanya lima tahun sekali.

Beliau berkata ia merupakan peluang yang baik untuk rakyat Malaysia memahami lebih mendalam dan memupuk rasa cinta terhadap institusi diraja dan cara ia diamalkan di Malaysia di bawah konsep Raja Berperlembagaan.

“Seperti diumumkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, wayang pacak akan dipasang di semua 222 kawasan parlimen pada 20 Julai ini bagi menayangkan siaran secara langsung istiadat pertabalan, ambillah peluang ini untuk menontonnya kerana ia penuh adat dan tradisi, sesuatu yang perlu dihayati,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :