EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin dan Ahli Dewan Negeri Sentosa (ADN) Dr G Gunaraj ketika Program Bersih dan Hijau Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di Butterfly Park@Bukit Tinggi, Klang pada 21 Julai 2024. Foto Pejabat ADN Sentosa
ADNSELANGOR

DUN Sentosa anjur program tanam pokok, kumpul barangan kitar semula

SHAH ALAM, 21 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa meneruskan program Bersih dan Hijau buat tahun keenam bagi memupuk kesedaran menjaga alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Wakil rakyatnya Dr G Gunaraj berkata lebih 400 penduduk mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang berlangsung di taman rekreasi, Butterfly Park@Bukit Tinggi, Klang hari ini.

Katanya ia termasuk jalan santai, zumba, pengumpulan barangan kitar semula dan penanaman pokok.

Selain itu katanya sempena program itu juga turut diadakan majlis perasmian Taman Rekreasi Butterfly Park@Bukit Tinggi yang disempurnakan EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.

“Taman rekreasi berkenaan diberi wajah baharu dengan penambahbaikan beberapa kemudahan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) seperti trek jalan kaki sejauh 1.5 kilometer.

“Sebelum ini apabila hujan trek akan ada takungan air, jadi selepas penaiktarafan pengguna taman ini akan lebih selesa untuk beriadah,” katanya kepada Selangorkini.

Sempena program itu juga turut diadakan majlis penutup program Cabaran 60 Hari Sihat Sejahtera Sentosa yang menyaksikan pemenang utama menerima hadiah wang tunai RM1,000, kedua (RM700) dan ketiga (RM500).

“Tahun ini adalah tahun ketiga penganjuran Program Cabaran 60 Hari Sihat Sejahtera Sentosa iaitu program menurunkan berat badan bagi memupuk kepentingan penjagaan kesihatan.

“Ia mendapat penyertaan 70 peserta dengan juara berjaya menurunkan berat badan sebanyak 15 kilogram (kg) dalam tempoh dua bulan.

“Peserta program ini diberikan bimbingan mengenai senaman sesuai serta kursus pemakanan sihat oleh pakar,” katanya.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin dan Ahli Dewan Negeri Sentosa (ADN) Dr G Gunaraj ketika Program Bersih dan Hijau Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa di Butterfly Park@Bukit Tinggi, Klang pada 21 Julai 2024. Foto Pejabat ADN Sentosa

 


Pengarang :