EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han menjawab soalan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 5 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jajaran kereta api pacu ekonomi utara negeri, buka bandar baharu

SHAH ALAM, 8 JULAI: Penambahan jajaran kereta api yang menghubungkan Klang dengan kawasan utara negeri bakal memacu pertumbuhan ekonomi pada masa depan.

EXCO mobiliti berkata projek berimpak tinggi yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) itu turut menjana ekonomi setempat kerana menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan termasuk berkemahiran tinggi.

“Jajaran Rel Selangor ini akan membangunkan kawasan seperti Kapar, Jeram, Kuala Selangor, Sekinchan dan Sabak Bernam sekali gus menyeimbang pembangunan bandar dan luar bandar.

“Sudah tentu pada masa depan projek ini akan membuka perbandaran baharu selain mencipta peluang kerja,”  kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

Pada Khamis Dato’ Menteri Besar ketika membentang Kajian Separuh Penggal RS-1 di sidang Dewan Negeri Selangor berkata Jajaran Rel Selangor berupaya membangunkan potensi ekonomi pekan kecil di utara negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha yang melengkapi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi menghubungkan Selangor dengan Pantai Timur Semenanjung Malaysia turut memberi manfaat sekitar kawasan sempadan Perak.

Menerusi belanjawan tahun ini, Kerajaan Negeri mengumumkan kajian kebolehlaksanaan Jajaran Rel Kita Selangor di pantai barat negeri melalui peruntukan RM3 juta.


Pengarang :