AGENDANASIONAL

Jawatankuasa kaji bahan cemar baharu akan diwujudkan – Fadillah

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi mengkaji secara menyeluruh mengenai bahan cemar baharu termasuk mikroplastik yang berisiko memberi kesan kepada kesihatan manusia serta alam sekitar di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jawatankuasa itu berfungsi untuk mengenal pasti bahan cemar baharu serta meneliti tindakan yang boleh diambil secara bersepadu dari segi penguatkuasaan dan langkah pencegahan.

“Apakah tatacara operasi piawai (SOP) baharu yang perlu ada supaya apa sahaja standard yang ada sekarang ini mungkin tidak mampu lindungi atau cover bahan-bahan baharu yang mencemar keadaan kita.

“Jadi kita kena tambah baik dan ini akan dilaksanakan secara bersepadu di bawah jawatankuasa ini yang bakal kita wujudkan nanti,” kata beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang ingin tahu sama ada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah mengkaji keperluan membangunkan undang-undang khusus dalam menangani isu pembuangan dan pencemaran plastik.

– BERNAMA


Pengarang :