Orang ramai membeli barang keperluan pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di kawasan parkir Masjid Al Husna, Bandar Sunway pada 10 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR
AGENSISELANGOR

Jualan murah PKPS bantu B40 di bandar jimat belanja dapur

PETALING JAYA, 10 JULAI: Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Kerajaan Negeri menjimatkan perbelanjaan dapur golongan berpendapatan rendah (B40) di bandar.

Pesara tentera, Zainudin Adam, 62, mengakui kehidupan di bandar lebih mencabar berbanding kampung apabila harga barangan semakin meningkat ketika ini.

Zainudin Adam

“Inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan JER di kawasan tengah bandar ini amat membantu.

“Saya harap ia dapat dianjurkan lebih kerap sekurang-kurangnya dua minggu sekali,” katanya ketika ditemui pada JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Masjid Al Husna, Bandar Sunway di sini, hari ini.

Suri rumah, Esah Aziz, 65, pula berharap Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tidak mengehadkan kuantiti pembelian barangan asas tersebut.

Esah Aziz

“Macam sekarang ayam beras telur semua orang boleh beli satu sahaja. Jumlah itu tidak mampu tahan lama lebih-lebih lagi mereka yang ada bilangan isi rumah ramai.

“Saya cadangkan mungkin selepas ini boleh jual beras 10 kilogram dan bagi kami beli lebih daripada satu terutama untuk ayam, telur dan beras,” katanya.

Zurina Hamidon

Mengakui lebih 50 kali berkunjung ke JER, Zurina Hamidon, 49, berkata beliau mengikuti perkembangan jualan murah itu di Facebook PKPS berkaitan tarikh dan lokasi penganjuran.

“Kalau JER dianjurkan berhampiran rumah memang akan pergi. Suka ke sini sebab barangnya bukan sahaja murah tetapi juga berkualiti. Harap inisiatif ini diteruskan supaya lebih ramai golongan B40 dapat manfaatnya,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).


Pengarang :